Sudah bertahun kita mendengar khabar angin mengenai remake kepada game Metal Gear Solid 3: Snake Eater. Dengan PlayStation Showcase semakin menghampiri, khabar angin mengenainya juga kembali. Kali ini, keluar pula khabar angin baharu bahawa Metal Gear Solid 3 remake bukanlah eksklusif kepada PlayStation tetapi ia akan dilancarkan ke pelbagai platform.

Melalui Insider-Gaming, Metal Gear Solid 3 remake akan hadir ke PS5, Xbox Series X|S dan PC melalui Steam. Buat masa ini masih tidak jelas jika versi PlayStation mempunyai hak eksklusif untuk pemasaran ataupun DLC game. Dengan PlayStation Showcase yang akan ditayangkan minggu ini, sudah tentu ada beberapa game menarik lain yang turut dipersembahkan nanti.

Sama seperti Silent Hill 2 remake, banyak kali juga kita mendengar khabar angin mengenainya tetapi kini ia menjadi kenyataan dan sedang dibangunkan oleh Bloober Team. Ini membuatkan peminat Metal Gear Solid turut menaruh harapan bahawa khabar angin ini mungkin betul dan menunggu pengumuman rasmi daripada pihak Konami. Betul atau tidak, kenalah tengok apa jadi nanti semasa acara PlayStation Showcase nanti.
Tentang Metal Gear Solid 3
Diarahkan oleh Hideo Kojima, game stealth action ini telah dilancarkan pada 2004. Berlatarkan Kesatuan Soviet era Perang Dingin, cerita game ini berpusat pada operasi FOX Naked Snake ketika dia cuba menyelamatkan pereka senjata dan mensabotaj senjata super eksperimen yang dikenali sebagai Shagohod.
Metal Gear Solid 3 diterima dengan baik secara kritis dan komersial, menjual lebih daripada 3.96 juta salinan di seluruh dunia dan mendapat metascore 91 pada Metacritic.

Adakah anda teruja untuk menonton PlayStation Showcase nanti? Anda rasa game apa yang akan menjadi highlight nanti? Boleh kongsikan kepada kami melalui ruang komen! Untuk mendapatkan liputan lain mengenai game daripada kami, boleh klik pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post