Berita kurang baik buat peminat Hunter x Hunter kerana siri ini akan kembali hiatus selepas 10 minggu mengeluarkan bab terbaru. Hal ini adalah kerana komplikasi kesihatan yang dihidapi oleh penciptanya, Yoshihiro Togashi.
Melalui Twitter @TheHxHSource, berdasarkan nota yang dipetik dalam Weekly Shonen Jump (WSJ), hiatus kali ini hanyalah buat sementara sahaja tetapi tiada tarikh rasmi bila siri ini akan kembali semula. Selain itu, pihak WSJ juga akan menukar format manga ini, mungkin daripada manga mingguan kepada manga bulanan. Mereka akan maklumkan perkara ini secara rasmi pada masa akan datang.

Terima kasih kerana membaca Hunter x Hunter. Bagi penerbitan manga bab 401 dan seterusnya, kami telah berbincang dengan Togashi tentang keadaan kesihatannya, dan hasilnya, kami telah memutuskan untuk menerbitkan Hunter x Hunter dalam format lain selain daripada siri mingguan.
Togashi-sensei akan terus menulis bab seterusnya, dan bahagian editorial akan menyokongnya sehingga tamat manga. Tarikh dan kaedah penerbitan khusus akan diuumkan dalam keluaran seterusnya Weekly Shonen Jump.
Terima kasih atas sokongan anda terhadap Hunter x Hunter.
Bahagian Editorial Weekly Shonen Jump

Seperti yang anda tahu, kerjaya sebagai seorang mangaka merupakan perkerjaan yang sangat mencabar. Apabila Togashi mengerjakan Yu Yu Hakusho, tekanan dan beban kerja yang berat telah menjejaskan kesihatannya. Hal ini menyebabkan siri tersebut mempunyai penamat yang kurang memuaskan untuk sesetengah peminat. Pada Julai 2022, Togashi menyatakan bahawa dia terpaksa melukis sambil baring kerana masalah belakang dan pinggul mengahalangnya daripada duduk di atas kerusi.
Kepada mereka yang tidak tahu, Hunter x Hunter adalah siri yang dihasilkan oleh Yoshihiro Togashi pada tahun 1998. Manga ini telah kembali selepas hampir empat tahun hiatus pada 24 Oktober 2022, kali terakhir Hunter x Hunter hiatus ialah pada November 2018. Anda boleh membaca manga Hunter x Hunter secara percuma melalui aplikasi dan laman web rasmi MangaPlus.
Sinopsis:

Hunter X Hunter mengisahkan tentang Gon Freecss, seorang budak lelaki yang belajar bahawa bapanya yang hilang rupanya adalah ahli organisasi yang dikenali sebagai Hunter Association. Organisasi ini mengambil individu berbakat dan menugaskan mereka untuk menyelesaikan pelbagai misi, termasuk memburu binatang mitologi, mencari harta karun, meneroka kawasan dunia yang belum dipetakan, dan menjejaki penjenayah yang dikehendaki.
Apabila Gon dapat tahu bahawa bapanya mungkin masih hidup, dia mendedikasikan dirinya untuk menjadi seorang Hunter dan menjejakinya.

Apa pendapat anda tentang perkara ini, adakah Hunter x Hunter akan kembali dengan siri bulanan seperti manga Boruto dan Dragon Ball Super? Jom kongsi pendapat anda di ruang komen. Untuk segala liputan kami tentang anime dan manga, sila tekan pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post