Bandai Namco dan FromSoftware baru sahaja mengumumkan bahawa Elden Ring Nightreign, sebuah spin-off multiplayer co-op daripada Elden Ring yang mendapat pujian ramai, telah mencapai pencapaian luar biasa dengan mencatat lebih dua juta unit terjual—gabungan penghantaran dan jualan digital—di seluruh dunia pada hari pelancarannya, 30 Mei 2025.
Game ini dilancarkan secara serentak di pelbagai platform, termasuk PlayStation 5, PlayStation 4, Xbox Series X/S, Xbox One, dan PC melalui Steam. Di Steam sahaja, Nightreign berjaya mencatatkan puncak seramai 313,593 pemain serentak sejurus selepas pelancaran.
Berlatarkan dunia luas dan penuh misteri Elden Ring, Nightreign menawarkan pengalaman cooperative gameplay yang menekankan kerjasama antara tiga pemain dalam satu pasukan. Pemain, yang digelar sebagai Nightfarer, perlu menavigasi peta dinamik dengan pelbagai jenis biom, senjata, dan musuh.
Mereka akan berdepan cabaran seperti membuat keputusan pantas dalam pertempuran, mengelak daripada lingkaran api yang semakin mendekat, dan bertahan sehingga hari ketiga untuk menentang Nightlord—bos baru yang eksklusif untuk game ini.
Kerjasama antara pemain sangat penting, kerana setiap watak mempunyai kebolehan unik yang perlu digabungkan untuk mengatasi halangan yang ada. Menariknya, walaupun gagal, pemain akan memperoleh relic yang boleh digunakan untuk menyesuaikan dan memperkuat watak mereka, membentuk gaya permainan masing-masing.
Namun begitu, meskipun mencatatkan kejayaan komersial yang mengagumkan, Elden Ring Nightreign menerima maklum balas bercampur daripada pemain di Steam.
Kritikan yang paling ketara ialah ketiadaan mod two-player co-op, pengalaman solo yang sukar, dan kekurangan fungsi voice chat, yang dianggap menyukarkan komunikasi dalam game.
Sebagai tindak balas kepada isu ini, FromSoftware mengumumkan bahawa mereka sedang menyiapkan patch untuk memperbaiki pengalaman solo, yang dijangka akan dilancarkan minggu depan.
@gamersantaimy
Discussion about this post