Kami pernah berkongsi mengenai generasi Ultra untuk kedua-dua era Showa dan Heisei. Alang-alang era Reiwa masih lagi muda, kami ingin perkenalkan kepada anda generasi Ultraman untuk era baru ini. Jadi tanpa membuang masa, jom! Kita lihat generasi terbaru Ultraman era Reiwa!
Ultraman Taiga (2019)

Ultraman Taiga merupakan ultraman pertama untuk era Reiwa. Kalau anda ingin tahu, Taiga merupakan salah satu Ultraman yang boleh bergabung dengan Hiroyuki Kudo, protagonis dalam Ultraman Taiga. Disebabkan dirinya sering dibayangi bayang-bayang bapanya, Ultraman Taro, dia berharap bapanya memahami dan mengenalinya. Taiga juga mempunyai rasa keadilan yang kuat dan sangat bersemangat. Bersama-sama dua Ultraman lain, Titas dan Fuma, dia telah tubuhkan Tri-squad. Walaupun masih muda dan tidak mahir, dia telah berjuang untuk menjaga keamanan bumi bersama Hiroyuki.
Ultraman Titas (2019)

Ultraman Titas merupakan salah satu Ultra yang boleh bergabung dengan Hiroyuki Kudo, bersama-sama Ultraman Taiga dan Fuma. Dia merupakan pejuang Ultra dari planet U40, tempat di mana Ultraman Joneus dilahirkan. Jika lihat daripada badannya, Titas sangat mahir dalam pertarungan Heavyweight.
Ultraman Fuma (2019)

Satu lagi wira Ultra yang muncul dalam Ultraman Taiga, iaitu Ultraman Fuma. Seperti Taiga dan Titas, Ultraman Fuma juga boleh bergabung dengan Hiroyuki Kudo. Dia datang dari Planet O-50, di mana Ultraman Orb, Rosso dan Blu mendapatkan kuasa dan menjadi Warrior of Light. Fuma mempunyai ketangkasan yang pantas malah pelbagai teknik yang membuatkannya kuat dalam pertempuran yang memerlukan kepantasan. Walaupun personalitinya agak kasar, dia juga Ultra yang sangat bertanggungjawab.
Ultraman Z (2020)

Ultraman Z merupakan hero Ultra daripada siri Ultraman Z. Dia sangat memandang tinggi kepada Ultraman Zero, yang menjadi mentornya. Tabah dan atletik, Z sentiasa bertenaga malah mempunyai sisi lucunya, kerana dia tidak biasa dengan budaya Bumi dan kadang-kadang menggunakan perkataan dengan tidak betul. Walaupun Z tidak berpengalaman dan masih berkembang, dia juga seorang wira yang bersemangat yang cintakan keamanan dan keadilan.
Ultraman Trigger (2021)

Ultraman Trigger merupakan hero Ultra dalam siri Ultraman Trigger: New Generation Tiga. Dia merupakan Ultraman purba yang pernah berjuang dengan kegelapan pada 30 juta tahun dahulu dan dibangkitkan semula di era moden setelah tidurnya yang panjang. Pada penghujung siri, Trigger bersama hos manusianya, Kengo telah mengorbankan diri untuk menstabilkan tenaga Eternity Core yang mampu menghasilkan Big Bang.
Ultraman Regulos (2022)

Ultraman Regulos pertama kali muncul dalam Ultra Galaxy Fight: The Destined Crossroad. Dia pada mulanya telah diperkenalkan dalam Ultra Galaxy Fight: The Absolute Conspiracy sebagai silhouette yang dipenjarakan di Narak. Dia telah belajar Cosmo Beast Style dari Planet D60, sebuah exoplanet berada pada orbit bintang dalam buruj Draco.
Ultraman Decker (2022)

Ultraman Decker merupakan hero Ultra yang akan menemui anda dalam siri Ultraman Decker, yang merupakan sekuel kepada siri Ultraman Trigger. Decker telah tiba ke bumi sebagai cahaya misteri semasa serangan Sphere. Bersama-sama hos manusianya, Kanata Asumi, ahli pasukan GUTS-Select, mereka akan menentang Sphere bersama-sama.
Buat masa ini, hanya Ultra ini sahaja yang diperkenalkan. Jangan risau! Bila muncul ultra baru untuk era Reiwa, kami akan mengemas kini artikel ini. Untuk mendapatkan liputan lain mengenai Ultraman daripada kami, sila klik pautan ini.
Sumber: Ultra fandom
@gamersantaimy
Discussion about this post