Chocobo GP merupakan sekuel kepada Chocobo Racing, sebuah game spinoff klasik dari francais Final Fantasy yang asalnya dikeluarkan semasa zaman PS1. Setelah 23 tahun mendiamkan diri, sekuelnya Chocobo GP kini tiba di Nintendo Switch dengan beberapa penambahan moden. Sempena itu, kami berpeluang mendapatkan interview bersama produser Hironori Okayama & pengarah Akihiko Maeda untuk mengetahui lebih lanjut tentang idea dan proses di sebalik tabir Chocobo GP.

1. Chocobo GP merupakan sekuel Chocobo Racing dari era PS1. Mengapa anda membuat keputusan untuk menghidupkan spin-off ini selepas sekian lama?
Okayama: Kami mahu menjadikan watak “Chocobo” dikenali luar Jepun, terutamanya kepada golongan muda. Oleh itu, kami memutuskan untuk mengeluarkan game baru yang mudah untuk bermain dan memilih genre Kart Racer kerana ia salah satu genre paling popular di seluruh dunia.
Kami juga berharap anda dapat melihat Chocobo GP sebagai game baru yang mempunyai elemen umum dari Chocobo Racing, berbanding mengaitkannya secara langsung.

2. Beberapa watak popular Final Fantasy seperti Terra, Vivi dan Steiner telah dimasukkan ke dalam game sebagai playable character. Bagaimana anda menentukan watak mana untuk dimasukkan dalam Chocobo GP?
Maeda: Bagi watak dari siri Final Fantasy, kriteria utama ialah sama ada mereka dapat menggembirakan peminat. Sebaik sahaja memutuskan watak mana akan muncul, kami memikirkan tentang bentuk yang mereka akan ambil dalam jalan cerita, serta jenis kenderaan yang boleh menjadikan mereka lebih menarik.
3. Cloud dan Squall telah disahkan sebagai DLC musim pertama. Adakah watak-watak lain daripada game Final Fantasy akan ditambahkan dalam Chocobo GP?
Maeda: Watak dan kostum akan ditambah setiap musim. Pembangunan sedang dijalankan dengan rancangan untuk menambah beberapa litar baru. Kami akan memaklumkan anda tentang perkara yang akan ditambahkan dan kami berharap anda menantikannya!

4. Kebanyakan litar adalah berdasarkan level daripada pelbagai game Final Fantasy. Adakah lebih banyak litar akan ditambahkan dalam update akan datang?
Okayama: Untuk sambung jawapan tadi, kami sedang mempertimbangkan untuk menambah dua watak baru bagi setiap musim; satu boleh diperolehi dalam versi penuh manakala satu lagi boleh diperolehi dengan Prize Pass. Penambahan litar baru akan tersedia untuk semua pemain, termasuk versi LITE.

5. Dalam Chocobo Racing, Bahamut adalah playable character, namun dalam game ini, dia hanya boleh diseru menggunakan magicite. Mengapakah dia dijadikan sebagai spell dan bukannya playable character?
Maeda: Bahamut ialah salah satu watak terkuat dalam Chocobo Racing, dan jika dibawa ke Chocobo GP, dia akan mengganggu keseimbangan permainan. Oleh itu, untuk memastikan semuanya seimbang, kami memutuskan adalah lebih baik jika dia diseru dengan magicite daripada menjadikannya seorang playable character.
6. Bolehkah anda menjelaskan lebih lanjut tentang falsafah mereka bentuk kenderaan; seperti mengapa leviathan diubah menjadi kereta?
Maeda: Ia boleh dibahagikan secara kasar kepada tiga kategori. Pertama, jika karya asal mempunyai sejenis kenderaan, kami menggunakan kenderaan itu sebagai asas dan mengubah reka bentuk agar sesuai dengan pandangan dunia game ini.
Bagi mereka yang tidak mempunyai kenderaan, kami menggunakan sebarang elemen yang berkaitan dengan watak sebagai motif. Bagi mereka yang tidak mempunyai kedua-duanya, ia mungkin atas sebab jalan cerita, atau dari idea yang diperoleh daripada perwatakan.

7. Game ini dikeluarkan hanya untuk Nintendo Switch. Adakah ada sebarang rancangan untuk membawa Chocobo GP ke konsol lain?
Okayama: Sesetengah elemen seperti grafik sukar untuk dipindahkan dalam keadaan semasa, tetapi kami ingin melakukannya jika ada peluang.
Maka, tamatlah interview kami bersama produser Hironori Okayama & pengarah Akihiko Maeda tentang Chocobo GP. Bagi mereka yang berminat, game ini kini tersedia di Nintendo Switch. Korang boleh baca review penuh saya di SINI.
@gamersantaimy
Discussion about this post