Bagi mereka yang tidak tahu, Kamen Rider adalah salah satu francais adiwira paling lama dalam sejarah di mana siri pertama membuat debut pada lewat tahun 70-an. Dengan francais masih popular hingga sekarang, saya mendapat peluang untuk menemu bual Masahiro Inoue selaku pelakon yang menjayakan watak Kamen Rider Decade di acara Starlight Fantasy 2023.
Di sini, kami berbual tentang projek semasanya, pendapatnya tentang francais tokusatsu dan banyak lagi. Tanpa melengahkan masa lagi, berikut adalah interview saya bersama Masahiro Inoue!

Pertama sekali, bolehkah anda memperkenalkan diri?
Masahiro Inoue: Saya rasa, untuk Malaysia, siri saya yang paling terkenal ialah Kamen Rider Decade, di mana saya berlakon sebagai watak Kadoya Tsukasa. Saya percaya Kamen rider Decade sangat dikenali di kalangan rakyat Malaysia, dan saya dapat tahu ia juga disiarkan secara tempatan.
Selain daripada berlakon dalam siri Kamen Rider, saya juga berlakon dalam siri Garo, di mana pahlawan disarungkan perisai emas, dan saya berlakon sebagai watak Jinga.
Di Jepun, kedua-dua siri ini berada di bawah salah satu genre rancangan TV yang dipanggil Tokusatsu Hero, dan genre ini mempunyai banyak francais di bawahnya dengan banyak pengalaman dalam bidang.
Dan kali ini; apa yang saya mahu lakukan adalah untuk mencipta projek di bawah genre yang sama dipanggil Sentika F8ABA6 yang dituju untuk disiar secara global, dan Malaysia pasti menjadi sebahagian daripadanya.

Bolehkah anda berkongsi butiran lanjut tentang roadshow Sentika Jisarisu F8ABA6?
Masahiro Inoue: Roadshow ini akan bermula pada 7 Mei di Jepun, tetapi seperti yang anda tahu, Malaysia akan menjadi tempat pertama untuk dianjurkan. Roadshow Malaysia di acara Starlight Fantasy menayangkan ‘opening’ bagi siri ini, yang belum dikeluarkan dalam media sosial seperti SNS, jadi sila nantikannya.
Untuk projek Sentika Jisarisu, adakah semua idea dan motif muncul daripada diri sendiri?
Masahiro Inoue: Sudah tentu, saya mengambil inspirasi daripada banyak sumber, dan saya percaya ini lazimnya cara-cara sebuah siri baharu dicipta. Saya percaya pengalaman saya daripada berlakon di Kamen Rider Decade dan Garo menyumbang banyak kepada perkara ini, dan projek ini tidak dapat dibuat sekiranya saya tidak pernah mempunyai pengalaman lakonan.
Saya juga berbincang dengan penulis dan pengarah siri untuk mengeluarkan kandungan serba baharu untuk projek itu.

Semasa membuat projek tersebut, adakah anda menghadapi sebarang kesulitan atau halangan dalam proses pembikinan?
Masahiro Inoue: Banyak masalah yang dihadapi. Sebagai contoh, projek itu mengambil banyak-banyak masa. Biasanya untuk drama, katakanlah drama keluarga, plot utama berkisarkan kehidupan keluarga, dan rumah yang didiami oleh keluarga sudah memadai sebagai latar belakang.
Walau bagaimanapun, untuk rancangan Tokusatsu, terdapat banyak perkara yang terlibat. Contohnya banyak pertempuran, banyak musuh, banyak lokasi, adegan aksi, grafik komputer. Bagi hero Tokusatsu, kita memerlukan sut untuk mereka, dan kita juga mempunyai musuh. Kita tidak boleh membiarkan mereka dalam bentuk manusia sahaja. Kita juga memerlukan sut untuk musuh.
Oleh itu, banyak wang dan bakat terlibat dalam proses itu, dan selain semua ini, kami juga menghadapi kesukaran lain seperti penjadualan. Sebagai contoh, rancangan asalnya dirancang untuk diselesaikan dalam satu hari tetapi gagal berbuat demikian kerana banyak isu. Semua penambahan ini menyebabkan proses penggambaran mengambil masa lebih lama daripada yang dirancang.
Untuk CG, asalnya kami merancang untuk menyelesaikan dalam 3 bulan, tetapi sebaliknya, ia memakan masa 15 bulan – lima kali ganda daripada rancangan asal (ketawa). Ya, lima kali ganda 3 bulan.
Tambahan pula, kami mempunyai ramai krew untuk projek ini, kira-kira 50 ahli saya rasa, dengan komposisi krew paling asas. Dalam kalangan mereka, kita ada beberapa krew yang sangat rajin, dan kita juga ada beberapa krew yang lari separuh jalan. Oleh kerana ada orang yang melarikan diri, kita perlu mencari pengganti untuk mereka.Jika tidak, krew semasa akan menderita.
Selain masalah krew, kami juga menghadapi kesukaran mencapai garis masa untuk jadual sepanjang pembikinan projek. Sememangnya banyak kesukaran. Oleh itu, selepas melalui semua masalah ini, saya sekali lagi kagum dengan pesona budaya Tokusatsu.
Sebagai pelakon Kamen Rider Decade, apakah kriteria yang diperlukan untuk menjadi pelakon Kamen Rider mengikut pendapat anda?
Masahiro Inoue: Saya sering mendengar ini; “bagaimana untuk menjadi Kamen Rider.” Sangat sukar, kan? Tidak ada petunjuk yang jelas untuk itu. Ia benar-benar bergantung pada bagaimana pendekatan itu dilakukan pada era tertentu. Apa yang mereka lakukan dalam siri semasa adalah sangat berbeza daripada apa yang mereka lakukan pada zaman dahulu, jadi sangat sukar untuk memberi nasihat.
Untuk kes saya, Kamen Rider Decade adalah siri untuk memperingati ulang tahun ke-10, dengan sesuatu yang menimbulkan perasaan ‘matsuri’ (perayaan Jepun). Untuk mencari seseorang yang sesuai dalam peranan ini dengan ciri ‘matsuri’, mereka perlu mencari seseorang yang sangat unik, dan akhirnya mereka menemui seseorang seperti saya yang pelik dan istimewa (ketawa) dan menawarkan saya peranan itu.
Ini adalah kes yang sangat istimewa. Kebiasaannya sebagai pelakon, dia perlu belajar berlakon, kemudian bertambah baik melalui pengalaman sebelum dipilih sebagai watak. Ada banyak situasi unik untuk pemilihan pelakon. Ia tidak mengejutkan saya jika 10 tahun kemudian, kerjaya pelakon mungkin tidak lagi wujud – begitu cepat perkara itu boleh berubah.
Sebelum ini, hanya pelakon sahaja akan ditawarkan watak Kamen Rider, tetapi pada masa kini, terdapat peluang yang lebih tinggi untuk seorang influencer atau pelakon yang baru debut untuk memainkan peranan sebagai Kamen Rider jika dibandingkan dengan zaman dahulu.

Apakah pendapat anda tentang siri Kamen Rider Reiwa?
Masahiro Inoue: Pada pendapat saya, siri Kamen Rider yang bagus adalah tradisi yang diwarisi dengan betul. Dari era Showa bermula dari Kamen Rider Ichigo, ia menjadi budaya yang merentasi era Heisei sehingga era Reiwa, pada masa kini di mana warisan itu berterusan.
Bagi Kamen Rider seperti yang anda lihat, grafik komputer semakin maju, sut lebih canggih dapat dihasilkan, tetapi ia memberikan perasaan yang sangat berbeza kepada saya. Kadang-kadang ia memberikan perasaan bahawa ia sangat melampau.
Sebagai contoh, kuil Jepun adalah salah satu bangunan yang boleh kita temui di Jepun, kan? Namun, reka bentuk kuil sangat terperinci dan sukar untuk dibuat. Sebagai perbandingan, bangunan moden biasa jauh lebih ‘simple’ dalam reka bentuk. Jika reka bentuk kuil dipermudahkan kepada sesuatu yang serupa dengan bangunan moden, bukankah intipati budaya kuil Jepun telah hilang?
Pada pendapat saya, intipati Kamen Rider yang baik harus diwarisi dengan betul. Sesuatu yang telah melampaui batas mungkin harus bermula sebagai siri baharu.

Inoue-san, adakah anda mempunyai apa-apa untuk dikongsi dengan peminat di luar Jepun, seperti pengalaman yang dilalui?
Masahiro Inoue: Sudah tentu, saya sangat tidak sabar untuk datang dan melawat Malaysia, tetapi pada masa kini kita mempunyai internet yang tidak wujud pada zaman dahulu, dan lebih mudah untuk kita mengakses kandungan yang ingin ditonton.
Kami dipisahkan oleh laut yang luas, berjarak 5000 km jauhnya, dan saya mengambil masa 8 jam penerbangan untuk sampai ke sini, tetapi jarak tidak relevan apabila peminat dapat menonton dan menyokong siri kegemaran mereka, dan ini adalah apa yang membuat saya sangat gembira.
Ia memberi inspirasi kepada saya untuk mencipta rancangan yang bukan sahaja boleh ditonton oleh peminat Jepun, tetapi boleh ditonton oleh peminat di seluruh dunia – siri untuk peminat seperti anda.
Saya telah melihat dan mengalami banyak perkara. Buat masa ini, saya ingin mencipta rancangan baharu, dan saya amat gembira jika ia dapat mendapat pendedahan yang mencukupi untuk lebih ramai orang menontonnya.

Akhir sekali, kepada semua Peminat Malaysia; adakah anda mempunyai apa-apa mesej yang ingin dikongsikan?
Masahiro Inoue: Tahun ini saya bekerja keras untuk projek Jisarisu. Buat pertama kalinya, saya ingin berkongsi bahawa Jisarisu ialah siri yang percuma untuk ditonton dan akan disiarkan secara percuma pada platform yang berbeza. Banyak projek sedang berjalan seiring dengan Jisarisu Project.
Sebagai contoh, barangan yang semua orang dapat nikmati, dan juga NFT. Adakah rakyat Malaysia tahu tentang NFT? Kami juga mempunyai projek yang menyambungkan projek Jisarisu ke NFT, jadi nantikannya.
Ini juga kali pertama saya datang ke Malaysia untuk opening dan promosi siri baharu. Apabila saya bersiap untuk memulakan acara promosi projek Jisarisu, Malaysia adalah tempat pertama yang terlintas di fikiran saya, dan saya benar-benar mahu melakukannya di sini.
Saya sangat gembira jika semua orang dapat menyokong acara dan projek itu.

Sekali lagi saya ingin ucapkan terima kasih kepada Masahiro Inoue-san dan rakan-rakan di Starlight Fantasy kerana sudi mengaturkan temu ramah ini. Untuk mengetahui perkembangan semasa beliau, sila layari halaman Twitter-nya di SINI.
Jika korang ingin membaca segala liputan kami tentang francais Kamen Rider, sila tekan pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post