Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kualiti game dari China telah meningkat dengan ketara, mencetuskan perbincangan di kalangan pembangun game Jepun mengenai perubahan landskap industri. Sesetengah profesional percaya bahawa dalam beberapa aspek—terutamanya animasi—game dari China kini semakin mengatasi game Jepun.
Bermula daripada Klip Tular
Perdebatan ini semakin hangat selepas satu klip daripada Arknights: Endfield, sebuah RPG akan datang, menjadi tular.
Dibangunkan oleh syarikat China, Hypergryph yang berpangkalan di Shanghai, game gacha open-world 3D ini bakal menyertai senarai game China lain yang menampilkan visual menakjubkan seperti Genshin Impact, Wuthering Waves, dan Zenless Zone Zero.
Klip yang telah ditonton lebih 6.9 juta kali itu menunjukkan pergerakan watak Yvonne yang sangat lancar dan ekspresif. Ramai penonton dari Jepun kagum dengan cara animasi itu bukan sahaja menggambarkan personaliti karakter, tetapi juga perhatian terhadap perincian yang begitu tinggi.
Pembangun dan animator Jepun pantas memberikan pandangan mereka. Alwei, seorang wakil daripada studio Jepun Indie-Us Games, menyatakan bahawa perbezaan paling ketara antara game moden dari China dan Jepun bukan terletak pada grafik semata-mata, tetapi lebih kepada animasi.
Menurutnya, game China bukan sahaja mempunyai pergerakan karakter yang lebih halus, malah turut menampilkan fizik, kerja kamera, dan teknik pengarahan yang jauh lebih baik berbanding game Jepun.
Dalam satu posting, Alwei turut menjelaskan beberapa cabaran utama yang menghalang studio Jepun daripada mencapai tahap kualiti yang sama. Salah satu masalah terbesar ialah kekurangan animator berbakat.
Persaingan untuk mendapatkan animator begitu sengit sehingga bukan sahaja syarikat bersaing sesama sendiri, tetapi bahagian dalaman dalam syarikat juga berebut-rebut untuk mendapatkan tenaga kerja tersebut.
Selain itu, tekanan untuk mengurangkan kos pembangunan turut menjadi halangan. Disebabkan keperluan untuk menjimatkan perbelanjaan animasi, kebanyakan studio Jepun terpaksa bergantung kepada gerakan generik dan motion capture berbanding menghasilkan animasi yang lebih teliti secara manual.
Dengan cabaran seperti ini, Alwei tidak pasti sejauh mana game Jepun mampu bersaing, terutama apabila China terus menetapkan standard animasi yang semakin tinggi.
Bukan Sekadar Isu Bajet
Seorang game animator dari Jepun turut bersetuju dengan pandangan tersebut, namun menegaskan bahawa masalah ini bukan hanya berpunca daripada bajet semata-mata. Walaupun syarikat China mempunyai dana yang lebih besar, cara mereka mengagihkan peruntukan juga memainkan peranan penting.
Di Jepun, kebanyakan studio lebih menekankan aspek visual keseluruhan permainan sebagai strategi menarik perhatian pemain, dan ini sering menyebabkan kualiti animasi dikorbankan. Tambahan pula, walaupun bajet yang lebih besar tersedia, kesukaran mencari animator berbakat dalam jumlah yang mencukupi tetap menjadi cabaran utama di Jepun.
Pandangan ini turut disokong oleh Shiba_29, seorang ilustrator dan animator Jepun yang pernah bekerja dalam projek game China. Menurutnya, skala pembangunan China jauh lebih besar berbanding Jepun. “Syarikat China melabur sepuluh kali ganda lebih banyak wang dan tenaga kerja dalam pembangunan game mereka,” katanya.
Pelaburan yang begitu besar ini menyebabkan pulangan hasil pada hari pelancaran selalunya tidak mencukupi untuk menampung kos yang dikeluarkan—sesuatu yang sukar dibayangkan dalam industri game Jepun.
Selain faktor kewangan, Shiba_29 juga menekankan kebebasan kreatif yang lebih luas dalam pembangunan game China. Katanya, suasana kerja di China lebih bersifat terbuka, di mana para pembangun digalakkan untuk mencuba idea-idea baharu yang berani—sesuatu yang sukar diluluskan dalam studio Jepun.
Bagi Shiba_29, kebebasan ini menjadi salah satu faktor utama yang menjadikan animasi dalam game China lebih ekspresif dan kreatif.
@gamersantaimy
Discussion about this post