Bermula esok, 24 Jun, Honor of Kings, salah satu game MOBA paling popular di dunia, bakal menerima update terbesar dalam sejarahnya dengan pelancaran Honor of Kings Plus.
Update percuma ini dibangunkan berdasarkan maklum balas komuniti dan akan memperkenalkan pelbagai ciri baharu, gameplay yang dipertingkatkan, serta ganjaran menarik untuk memberikan pengalaman bermain yang lebih menyeronokkan dan imersif.
Flowborn: Avatar Boleh Diubahsuai
Buat pertama kalinya dalam sejarah MOBA, Honor of Kings Plus memperkenalkan Flowborn — avatar dalam game yang boleh diubahsuai sepenuhnya, melangkaui konsep Hero tradisional.
Melalui Flowborn, pemain boleh mencipta identiti unik di medan perang dengan memilih rupa fizikal, tona kulit, pakaian, serta membuka pilihan tambahan seperti pakaian eksklusif dan gaya rambut.
Bukan itu sahaja, pemain juga boleh menghasilkan poster 2D yang disesuaikan dengan latar belakang, sticker, dan nameplate pilihan masing-masing untuk dikongsi.
Flowborn turut hadir dengan sistem combat adaptif yang membolehkan pemain menggunakan senjata dan skil serba boleh sesuai untuk pelbagai peranan. Ketika perlawanan, pemain boleh memilih buff atribut untuk menyesuaikan gaya permainan mereka.
Pelancaran ini akan dimulakan dengan Flowborn – Marksman pada 24 Jun, diikuti oleh Flowborn – Tank dan Flowborn – Mage pada bulan Julai nanti.
Pengiktirafan Lebih Adil untuk Skil Pemain
Honor of Kings Plus juga memperkenalkan sistem baharu untuk menghargai kemahiran individu, walaupun berada di pihak yang kalah. Sistem penilaian yang dikemas kini kini menggabungkan keputusan perlawanan bersama prestasi peribadi pemain.
Aspek prestasi ini dinilai berdasarkan pencapaian tertentu atau “Highlight Moments”, seperti memusnahkan “highground tower” atau “crystal lawan” secara solo untuk memperoleh medal SSS, memimpin skor dengan penuh keyakinan untuk rating 2 bintang, atau cemerlang dalam senario 1v9.
Pencapaian sebegini boleh membantu pemain mengekalkan atau mendapatkan Star tambahan.
Berbeza dengan versi China, versi global hadir dengan sistem rating yang lebih telus, termasuk tier “bonus point” yang jelas. Malah, pemain yang tewas tetapi berjaya memperoleh gold medal juga berpeluang mendapat Star.
Tiada Lagi Halangan Bahasa
Bagi meningkatkan kerjasama pasukan, Honor of Kings Plus memperkenalkan sistem transkripsi dan terjemahan suara ke teks secara masa nyata bermula 24 Jun.
Pada fasa awal, ia menyokong bahasa Cina, Inggeris, Indonesia, dan Melayu, dengan lebih banyak bahasa bakal ditambah selepas ini. Ini membuka peluang kepada pemain dari pelbagai latar belakang untuk berkomunikasi dengan lebih mudah dan membina persahabatan merentas sempadan.
Pengalaman Bermain Lebih Lancar & Pertempuran Lebih Seimbang
Untuk memastikan gameplay lebih seimbang dan menyeronokkan, beberapa perubahan utama turut diperkenalkan dalam update kali ini:
- Minion di mid lane ditambah menjadi empat unit, manakala Central River Sprite dikeluarkan demi keseimbangan gameplay.
- River Sprite di top dan bottom lane serta Space Sprite pula disesuaikan dari segi kadar respawn, abiliti, dan ganjaran.
- Red Falcon mengalami pelarasan pada masa spawn, skil, dan ganjarannya.
- Atribut Super Minion di ketiga-tiga lane dikurangkan bagi mengurangkan tekanan semasa peringkat late-game.
- Mekanik perisai turret turut diperhalusi, dan kini Summoner Skill: Teleport boleh digunakan secara kekal dengan visual yang telah dipertingkatkan.
Honor Pass Baharu dengan Ganjaran Lebih Lumayan
Mendengar maklum balas daripada komuniti, Honor of Kings Plus juga memperkenalkan sistem Honor Pass baharu yang lebih tersusun. Kini, sistem misi menjadi sumber utama ganjaran yang berasaskan acara.
Pemain akan memperoleh pengalaman dengan menyelesaikan misi Honor Pass, mencapai Highlight Moment, dan menyelesaikan pelbagai kempen. Semakin tinggi level Honor Pass anda, semakin banyak ganjaran boleh dibuka.
Untuk bulan pertama pelancaran Honor of Kings Plus, semua pemain akan menerima Elite Pass secara percuma. Honor Pass edisi pertama bertemakan KWC, dengan skin Nuwa – Syzygy Moonlight boleh diperoleh seawal Level 1, manakala skin Alessio EWC menanti di Level 80 untuk pemain yang aktif.
Naik taraf ke Deluxe Pass memberikan 398 token tambahan yang boleh digunakan untuk Honor Pass pada masa akan datang.
Ganjaran Masa Terhad & Skin Percuma
Bermula 19 Jun, pemain boleh menyelesaikan tugasan untuk mendapatkan token khas acara. Token ini boleh ditebus di Event Center bermula 24 Jun untuk mendapatkan baucar skin bernilai 1688 Token.
Baucar ini sah untuk diskaun ke atas mana-mana skin yang dikeluarkan sebelum 1 Januari 2025 (kecuali skin baharu Yun Ying – Crystallight Spear). Baucar tersebut boleh digunakan dari 28 hingga 30 Jun untuk pembelian satu skin tanpa sebarang had perbelanjaan minimum.
Bukan itu sahaja, dari 28 hingga 30 Jun nanti, semua skin dalam game yang dikeluarkan sebelum 24 Jun — termasuk skin limited dan legendary — boleh digunakan secara percuma. Ini merupakan peluang terbaik untuk pemain mencuba pelbagai kosmetik premium tanpa perlu berbelanja.
Untuk maklumat lanjut mengenai semua ciri baharu ini, layari laman rasmi Honor of Kings.
@gamersantaimy
Discussion about this post