Mungkin anda tidak pernah tahu, tetapi ada satu game indie seram yang membawa anda berjalan di dalam kedai perabot seperti IKEA pada waktu malam. Game tersebut bertajuk The Store is Closed. Senang cerita, anda terperangkap dalam kedai tersebut dan perlu teroka tempat tersebut untuk melepaskan diri tetapi pada waktu malam segala barang di sana nampaknya dihantui.

Baru-baru ini, dapat pula berita bahawa IKEA akan saman pembangun jika mereka tidak mengubah kandungan game tersebut yang sama dengan gedung perabot mereka. Jacob Shaw, pembangun kepada game tersebut telah berkongsi tentang perkara tersebut.

Surat yang dihantar kepadanya meminta Shaw untuk menukar elemen-elemen yang kelihatan sama seperti IKEA. Contohnya, warna kedai tersebut, perabot, lantai kedai dan juga papan tanda produk yang kelihatan sama.

Nasib baik IKEA tidak terus menyaman dan menghentikan projek game tersebut. Cuma minta ia diubah supaya tidak kelihatan seperti gedung perabot itu dan mengedit game untuk mengelakkan sebarang masalah apabila ia dilancarkan nanti. Kini ia menjadi cabaran kepada Shaw untuk mengubah game tersebut kerana kebanyakannya diinspirasikan oleh IKEA.

Menurut Shaw, perabot yang dia gunakan dalam game tersebut merupakan asset yang dibelinya untuk game tersebut. Jadi dia tidak tahu bagaimana untuk edit keluar perabot “yang kelihatan sama dengan produk IKEA” seperti yang dinyatakan dalam surat yang diterimanya.

Game itu juga sudah mendapat banyak perubahan daripada prototaip yang ditayangkan sebelum ini. Contohnya papan tanda kedai, baju staf malah mengubah kesemua poster produk yang telah digunakan. Walaupun banyak benda yang perlu diubah, Shaw telah menyatakan bahawa pembangunan game The Store is Closed akan diteruskan.
Anda yang teringin untuk menyokong pembangunan game indie ini, boleh lawati laman Kickstarter rasmi. Game ini dirancang untuk dilancarkan ke PC, Xbox Series dan PS5. Untuk mendapatkan segala liputan menarik tentang game daripada kami, sila klik pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post