Sekuel yang ditunggu-tunggu untuk filem Avatar oleh James Cameron akhirnya mengumumkan tajuk rasmi iaitu Avatar: The Way of Water. Trailer filem ini akan didedahkan bersama tarikh rasmi semasa tayangan Doctor Strange In The Multiverse of Madness pada 4 Mei.
Avatar: The Way of Water akan ditayangkan di semua pawagam terpilih pada 14 Disember. Namun, tarikh rasmi untuk tayangan di Malaysia masih belum diumumkan. Disney juga mengumumkan bahawa mereka akan mengeluarkan semula filem pertama, Avatar pada 23 September dengan audio dan video yang di remastered.
Mereka berkongsi serba sedikit tentang filem itu semasa pengumuman malam tadi termasuk rancangan untuk mencipta saga yang berkaitan antara keempat-empat filem Avatar seterusnya. Avatar: The Way of Water menceritakan tentang Jake Sully yang tinggal di planet baharunya Pandora. Ancaman kembali ke planet tersebut dan Jake bersama bangsa Na’vi mesti mempertahankan dan melindungi rumah mereka.
Selain itu, beberapa pelakon terkenal filem itu turut didedahkan seperti Sigourney Weaver, Kate Winslet, Michelle Yeoh, Stephen Lang, Giovanni Ribisi, Oona Chaplin dan Jermaine Clement.

Bagi mereka yang tidak ingat apa yang berlaku dalam Avatar 2009, sekuel itu dibintangi Sam Worthington sebagai Jake Sully, bekas tentera laut yang mengambil peranan sebagai Avatar dengan menggunakan badan salah seorang Na’vi Pandora.
Semasa Sully bermula sebagai pengintip di kalangan Na’vi, dia jatuh cinta dengan salah seorang daripada mereka, Neytiri yang dilakonkan oleh Zoë Saldana, dan akhirnya melawan balik tentera bumi yang sanggup memusnahkan planet Pandora untuk mencari logam yang dikenali sebagai unobtanium.

Dengan pengumuman ini, nampaknya tahun 2022 akan menjadi tahun yang besar untuk francais Avatar, dengan game baharu juga dijangka akan keluar pada 2022. Sebelum ini, Ubisoft mengumumkan Avatar: Frontiers of Pandora, game open world yang terletak di planet Pandora semasa acara Ubisoft Forward tahun lepas. Status game ini tidak diketahui kerana tidak banyak maklumat didedahkan sejak diumumkan, tetapi ia masih dijangka akan dilancarkan pada tahun ini.
Dengan penantian lebih 10 tahun ini, apa jangkaan korang untuk sekuel Avatar, Avatar: The Way of Water? Kongsikan pendapat korang di ruangan komen. Untuk lebih banyak berita tentang Disney, sila klik pautan ini.
Sumber: TheGamer
@gamersantaimy
Discussion about this post