Komik tempatan yang cukup dikenali, Under 18, bakal diadaptasi dalam bentuk filem live action, dengan tayangan dijangka pada tahun 2026.
Berita menarik ini diumumkan ketika sesi pelancaran Under 18 X Klepet di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025, yang berlangsung di World Trade Centre pada hari Ahad lalu, dan turut dihadiri oleh pencipta asal komik ini, Zint Lu.
Dalam media sosial, Gempak 360 berkongsi kegembiraan mereka dengan menulis: “Hari ini sangat bermakna sebab kami umumkan filem live action Under 18, akan datang tahun 2026! Rasa macam tak percaya… Under 18 live action film is official guyssss!!!”
Under 18, yang pertama kali diterbitkan pada tahun 2002, mencetuskan fenomena dalam kalangan pembaca di Malaysia. Sehingga kini, ia kekal relevan sebagai salah satu karya tempatan yang paling diingati dan disayangi.

Komik ini mengisahkan tentang kehidupan sekumpulan pelajar sekolah menengah, lengkap dengan ragam, cabaran, dan liku-liku yang mencerminkan realiti kehidupan remaja. Sebagai karya sulung Zint Lu, Under 18 sering dipuji kerana jalan ceritanya yang aksi, menyentuh hati tentang persahabatan, dan penuh hiburan.
Seiring dengan popularitinya, beberapa karya susulan juga diterbitkan, seperti Under 18: No Fear, Under 18 Elite, Under 18: Attitude, dan yang terbaru, Under 18 Spirit.
Buat masa ini, masih belum jelas sama ada filem live action ini akan memperkenalkan watak-watak baru dalam dunia Under 18 atau kekal menampilkan watak-watak asal dari komik, namun bahan promosi yang dipamerkan semasa pengumuman menunjukkan kehadiran Ax, Kaiou, dan Yosi daripada komik pertama.
Apa yang pasti, produksi filem ini akan diuruskan oleh Respected Citizen Production, syarikat yang turut bertanggungjawab terhadap filem Klepet.
Peminat perlu terus bersabar menanti maklumat lanjut yang akan diumumkan secara berperingkat. Jangan terlepas mengikuti perkembangan terkini tentang filem live action Under 18, yang sememangnya menjadi salah satu projek yang paling dinantikan oleh peminat setia!
@gamersantaimy
Discussion about this post