Kazuya Tsurumaki, nama yang dikenali kerana pendekatan pengarahan anime yang kreatif dan segar, terus mengukir nama dalam dunia animasi — dari karya ikoniknya dalam Neon Genesis Evangelion sehinggalah projek terbarunya, Mobile Suit Gundam GQuuuuuuX.
Kini, sebagai pengarah untuk bab terbaru dalam francais Gundam yang sudah bertapak selama lebih 40 tahun, Tsurumaki hadir dengan visi uniknya sambil menghormati legasi francais ini.
Dalam satu temu bual eksklusif bersama kami, beliau berkongsi tentang bagaimana beliau menyatukan gayanya dengan pengaruh Hideaki Anno, membentuk semula reka bentuk Gundam, merangka cerita yang mampu menarik minat peminat lama dan baru, serta keterujaannya melihat perkembangan pengaruh global Gundam, terutamanya di rantau Asia Tenggara.

Kerjasama Kreatif Bersama Hideaki Anno

Gabungan tenaga antara Tsurumaki dan Hideaki Anno, pencipta legenda Evangelion, menjadi tulang belakang kepada proses kreatif GQuuuuuuX. Dalam projek ini, walaupun Anno memainkan peranan sebagai penulis skrip dan penasihat kreatif, Tsurumaki pula menggalas tanggungjawab sebagai pengarah utama — satu dinamik yang membolehkan kedua-dua tokoh ini menyumbang gaya dan sentuhan tersendiri.
“Dalam Evangelion, Anno-san adalah pengarahnya. Tapi untuk GQuuuuuuX, beliau bertindak lebih sebagai penulis dan penyokong di belakang tabir, manakala saya pula mengambil alih peranan pengarahan,” jelas Tsurumaki.
Perubahan ini bukan sahaja tidak menimbulkan sebarang konflik, malah menghasilkan keserasian gaya yang harmoni. “Saya memang peminat Anno sejak dulu, dan pada saya, beliau ibarat guru atau mentor — seorang yang benar-benar memahami selok-belok pengarahan,” katanya lagi.
“Saya tidak rasa ada perbezaan ketara antara pendekatan kami. Sebaliknya, gaya kami berpadu dengan sangat semula jadi.”

Definisi Baru Kepada Reka Bentuk Gundam

Salah satu elemen paling menonjol dalam GQuuuuuuX ialah reka bentuk mecha yang luar daripada kebiasaan — jauh berbeza daripada gaya tradisional Gundam yang dikenali ramai. Tsurumaki memberikan kepercayaan penuh kepada pereka Yamashita dengan satu arahan yang berani: cipta sesuatu yang benar-benar bebas dari kebiasaan.
“Walaupun ramai anggap reka bentuk Gundam itu seragam, hakikatnya ia sangat pelbagai,” jelas Tsurumaki.
“Selepas lebih 40 tahun, variasinya memang banyak. Tapi kebelakangan ini, saya perasan macam ada kecenderungan untuk mengikut satu gaya tertentu. Jadi, untuk mengembangkan semula kepelbagaian itu, saya beritahu Yamashita-san supaya reka bentuk kali ini betul-betul keluar dari norma.”

Sudah tentu pendekatan sebegini ada risikonya — lebih-lebih lagi bila memikirkan betapa pentingnya jualan model Gunpla bagi pihak Bandai dan Sunrise. Tapi Tsurumaki yakin dengan bakat dan visi Yamashita
“Yamashita-san bukan sekadar pereka biasa. Saya rasa dia ada sentuhan seorang penulis fiksyen sains,” katanya. “Bila saya beri dia kebebasan sepenuhnya, hasilnya memang luar biasa. Saya rasa dia berjaya terjemahkan identiti unik itu ke dalam reka bentuk mecha.”
Hasilnya bukan sahaja menarik dari segi visual, malah kuat dari sudut naratif, selari dengan tema utama siri ini yang mengangkat semangat inovasi dan cabaran terhadap tradisi.
Mengimbangi Antara Legasi dan Mudah Akses

Bagi peminat yang mengenali hasil kerja Tsurumaki dalam Evangelion, mungkin ada jangkaan bahawa GQuuuuuuX juga akan menyelami tema psikologi dan falsafah yang berat. Namun, Tsurumaki memilih haluan berbeza.
“Kalau bercakap tentang jenis cerita yang kami hasilkan, saya rasa karakter dan gaya kami berbeza,” katanya, merujuk kepada perbezaan antara pendekatannya dan gaya Hideaki Anno. “Kedalaman falsafah yang ada dalam Evangelion bukanlah sesuatu yang kami sasarkan untuk GQuuuuuuX.”
Sebaliknya, siri ini menumpukan pada kesan emosi yang lebih langsung, dengan naratif yang didorong oleh watak serta interaksi antara unsur baharu dan elemen klasik dalam dunia Gundam.

Prolog siri ini, yang merujuk kepada One Year War serta memperkenalkan watak-watak seperti Machu dan Nyaan dalam garis masa 0085, mungkin kelihatan kompleks bagi penonton baru.
Namun, Tsurumaki yakin ia masih boleh dinikmati tanpa pengetahuan mendalam tentang francais. “Bahagian Machu dan Nyaan dalam 0085 adalah titik fokus utama di permulaan — ini benar-benar cerita watak baharu,” jelasnya.
“Saya rasa penonton baru pun boleh menikmati siri ini.” Beliau turut menyatakan bahawa platform penstriman hari ini memberi kelebihan kepada penonton baru.
“Sekarang ni ada banyak perkhidmatan penstriman dan langganan. Jadi, walaupun anda menonton dari luar Jepun, anda masih boleh cari semula maklumat kalau ada perkara yang anda tidak faham,” tambahnya.

Pendekatan ini menjadikan GQuuuuuuX bukan sahaja mesra kepada peminat sedia ada, tetapi juga sesuai sebagai pintu masuk untuk penonton baharu yang ingin mengenali dunia Gundam. “Sudah tentu,” jawab Tsurumaki apabila ditanya jika siri ini boleh menjadi titik permulaan.
“Kami tidak hasilkan GQuuuuuuX semata-mata untuk menggembirakan peminat lama. Kami percaya siri ini adalah permulaan yang sangat baik untuk penonton baharu.”
Semangat inklusif ini jelas terlihat dalam tumpuan kepada watak-watak seperti Machu, Nyaan, dan Shuji — yang direka dengan naratif yang boleh dinikmati tanpa perlu mengenal sejarah panjang Gundam terlebih dahulu.
Melihat Masa Depan GQuuuuuuX

Walaupun versi semasa GQuuuuuuX lebih menyerupai pratonton atau kompilasi, ia sudah berjaya meninggalkan impak yang kuat — sekali gus meningkatkan keterujaan peminat terhadap siri penuhnya nanti.
Tsurumaki turut menggoda penonton dengan perkembangan menarik yang bakal berlaku terhadap trio utama Machu, Nyaan, dan Shuji, yang digambarkannya sebagai “watak-watak paling menonjol dalam siri ini.”
Beliau turut mendedahkan bahawa Machu dan Shuji merupakan Newtypes — satu konsep penting dalam dunia Gundam — memberi bayangan bahawa jalan cerita mereka bakal memainkan peranan besar.
“Kami percaya masih banyak yang boleh diharapkan daripada mereka,” katanya. “Kami harap penonton akan teruja untuk melihat bagaimana kisah mereka akan berkembang.”

Temu bual ini diakhiri dengan mesej ikhlas Kazuya Tsurumaki buat para peminat Gundam di Asia Tenggara — satu rantau yang menjadi penyumbang besar kepada populariti francais ini.
“Saya sebenarnya tidak tahu yang Gundam begitu popular di Asia Tenggara dan Indonesia. Sejujurnya, saya baru tahu hari ini selepas diberitahu oleh staf,” katanya sambil tersenyum.
“Ia memang satu kejutan — tapi dalam masa yang sama, ia buat saya sangat gembira.” Semangatnya jelas terpancar ketika beliau menyampaikan harapan kepada peminat.
“Teruskan menantikan bagaimana GQuuuuuuX dan siri ini akan berkembang pada masa akan datang. Terima kasih.”
Untuk maklumat lanjut tentang anime ini, sila layari laman web rasmi.
@gamersantaimy
Discussion about this post