Sejak beberapa bulan lepas, program ‘AI pintar’ ChatGPT menjadi viral kerana keupayaannya untuk menjawab pelbagai jenis soalan dan memberi solusi kepada masalah dengan respons yang terperinci dan jelas. Cuma siapa sangka yang mangaka hebat Eiichiro Oda pun meminta AI tersebut untuk merangka kisah terbaru bagi manganya, One Piece.
Dimuat naik di Twitter rasmi One Piece, halaman media sosial itu menunjukkan interaksi lawak antara Eiichiro Oda dan ChatGPT. Kononnya ‘kekurangan idea’, Oda meminta ChatGPT untuk bantu menghasilkan plot yang menarik dan menghiburkan bagi bab seterusnya manga One Piece.
Video ini sepenuhnya dalam bahasa Jepun tetapi berjaya diterjemahkan oleh Anime Hunch. Berikut adalah perbualan antara Oda dan ChatGPT (ayat dikemaskini supaya mudah faham):
Oda: Hai, saya pencipta One Piece. Saya tidak tahu nak buat apa dengan bab ONE PIECE minggu depan, jadi bolehkah anda membuat cerita untuk saya? Saya ingin cerita yang lucu.
GPT: Hello! Saya ada idea menarik tentang perkembangan ONE PIECE. Bagaimana dengan jalan cerita berikut?
Dalam cerita ini, Straw Hat akan menghadapi musuh baru. Musuh ini dipanggil “King of Shadows” dan dia muncul di perairan pantai timur sambil mengetuai krew sendiri. Dia adalah pengguna Devil Fruit hebat yang boleh mengawal bayangnya sendiri. Matlamatnya adalah untuk mendapatkan Tony Tony Chopper, salah seorang krew Straw Hat.
Krew Straw Hat pergi ke perairan timur untuk melawannya, di mana pertempuran sengit dengan King bermula. Walau bagaimanapun, King mempunyai abiliti yang kuat, jadi mereka bergelut semasa bertarung. Ketika ini, Robin ingat tentang kewujudan puak legenda yang dipanggil “People of Shadows,” yang pernah dia temui pada masa lalu, lalu berusaha untuk mencari mereka.
Mereka melawat “Island of Shadows,” pulau kepada People of Shadows. Di sana, mereka memutuskan untuk berjuang demi mendapatkan semula kuasa yang telah King curi daripada warga Shadows. Semasa bertarung, mereka bertemu rakan-rakan baru dan bekerjasama untuk melawan King.
Akhirnya, mereka mengalahkan King dan menyelamatkan Tony Tony Chopper. Tetapi sebelum meninggalkan Island of Shadows, Robin ingin mengkaji sejarah Shadow People dan duduk sementara di istana mereka. Selepas belajar lebih lanjut tentang sejarah Shadow People dan beberapa penemuan baharu, dia kembali ke krew Straw Hat.
Apa pendapat anda tentang perkembangan cerita ini? Jalan cerita dengan penjahat yang mengawal bayang-bayang, kaum misteri tentang manusia bayang dan rakan sekutu baharu. Peranan Robin juga amat penting. Pembaca akan tertarik dengan pengetahuan dan tindakannya.
Oda: Maaf, ini membosankan. Tolong beri idea yang lebih menarik.
GPT: Saya minta maaf. Biar saya cadangkan jalan cerita yang lebih menarik.
Dalam dunia “One Piece”, sebuah kapal sedang berlayar di laut. Namun, ada orang di atas kapal selain daripada kapten dan krew. Ia adalah makhluk asing.
Makhluk asing itu menaiki kapal dan bersembunyi untuk melarikan diri daripada kapal angkasa jahat yang menyerang planet mereka. Semasa mengejar kapal angkasa jahat, planet mereka telah pun musnah.
Kumpulan makhluk asing itu meminta bantuan kapten dan krew untuk meneruskan berlayar supaya dapat mengejar kapal angkasa jahat. Dalam perjalanan, mereka mendarat di sebuah pulau. Tetapi pulau itu didiami oleh ahli sihir jahat. Ahli sihir itu merancang untuk mencuri “serpihan bintang” yang dimiliki makhluk asing itu. Serpihan bintang itu sebenarnya diperlukan untuk memulihkan planet makhluk asing.
Kapten, krew dan kumpulan makhluk asing bekerjasama untuk mengalahkan ahli sihir itu. Mereka menang. Tetapi makhluk asing itu tahu mereka kesuntukan masa untuk mengejar kapal angkasa jahat. Selepas mendapat semula serpihan bintang, mereka bergegas kembali ke kapal dan sambung mengejar kapal angkasa jahat.
Akhir sekali, kapten dan krew membantu kumpulan makhluk asing untuk membina semula planet mereka. Kumpulan makhluk asing kemudian meninggalkan kapal dan kembali ke planet mereka.
Bagaimana dengan jalan cerita ini? Dalam dunia ONE PIECE, makhluk asing muncul dan kapten serta krewnya membantu mereka. Unsur-unsur fantasi daripada cerita, seperti ahli sihir dan kapal angkasa jahat, akan memberi perspektif yang segar kepada pembaca.
Oda: Terima kasih! Itulah yang saya akan buat!
GPT: Sama-sama! Saya menantikannya. Jika ada apa-apa yang boleh saya lakukan untuk anda, sila beritahu saya.
Terang-terang, ini hanya lawak jenaka daripada Oda, jadi jangan pula korang anggap ini cerita benar. Cuma apa pendapat anda? Adakah AI cukup pintar untuk memberi plot bagi manga One Piece? Jom bincangkan di ruang komen.

Untuk membaca segala liputan kami tentang francais One Piece, sila tekan pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post