Dalam satu langkah yang mengejutkan ramai, Electronic Arts (EA) telah membatalkan pembangunan game Black Panther yang sangat dinanti-nantikan, walaupun projek ini telah beberapa tahun dibangunkan.
Keputusan itu juga mengakibatkan penutupan Cliffhanger Studios, studio yang bertanggungjawab membangunkan game tersebut, menurut laporan IGN.

Cliffhanger Studios, yang sedang membangunkan Black Panther sebagai projek sulung mereka, akan ditutup selepas EA memutuskan untuk mengalihkan tumpuan kepada keutamaan lain.
Dalam satu kenyataan, EA menyatakan bahawa langkah ini adalah sebahagian daripada usaha untuk “memfokuskan tenaga dan kreativiti kami kepada peluang pertumbuhan yang paling berpotensi.”
Syarikat itu turut menegaskan komitmennya terhadap beberapa projek utama lain, termasuk game Iron Man oleh Motive, tajuk ketiga Star Wars Jedi oleh Respawn Entertainment, serta entri seterusnya untuk Mass Effect oleh BioWare.

Maklumat tentang Black Panther agak terhad, tetapi beberapa kebocoran sebelum ini menyatakan bahawa pemain akan dapat memilih untuk bermain sebagai pelbagai watak Black Panther, termasuk T’Challa.
Terdapat juga khabar angin bahawa game ini akan bersifat open-world, dengan skop yang luas dan penuh cita-cita, memanfaatkan populariti besar watak tersebut berikutan kejayaan filemnya di pawagam.
Namun begitu, terdapat spekulasi bahawa EA mungkin tidak berpuas hati dengan perkembangan projek ini atau meragui kemampuannya untuk memenuhi jangkaan peminat, lalu memilih untuk menghentikannya lebih awal.

Walaupun pembatalan ini mengecewakan ramai peminat, masih ada sedikit sinar harapan. Game Marvel 1943: Rise of Hydra oleh Skydance, yang menampilkan Captain America dan Azzuri, seorang Black Panther dari era 1940-an, masih dalam pembangunan dan akan dilancarkan pada tahun 2026.
Berlatarkan Perang Dunia Kedua, game ini dijangka memberi perspektif unik dalam dunia Marvel dan berpotensi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh projek EA tersebut.
@gamersantaimy
Discussion about this post