Demon’s Souls adalah salah satu permainan terbaik semasa pelancaran PS5, tetapi anda mungkin memerlukan sedikit petua untuk bertahan hidup di permainan ini. Sekiranya anda berjaya mendapatkan PS5 dan berminat untuk cuba genre ‘Souls‘, memang banyak perkara yang kamu perlu tahu.
Demon’s Souls dan judul-judul lain dalam genre ‘Souls‘ sudah lama memiliki reputasi tinggi untuk tahap kesukaran yang kejam dan ‘brutal‘. Bagaimana pula dengan reboot Demon’s Souls? Terus terang, ia masih satu permainan yang sukar – tetapi itu tidak bermakna ia tidak adil. Semua yang kita perlukan untuk berjaya sudah ada dalam permainan. Cuma anda perlu tahu bagaimana dan di mana.
Seperti dalam permainan lain, seseorang pasti akan berlatih caranya menembak dalam Call of Duty Warzone, seorang pemain lain akan mengkaji peralatan terbaik dalam RPG/MMORPG kegemaran, manakala ada yang akan menjelajah setiap sudut kawasan dalam permainan ‘Open-World‘ untuk naik level dengan cepat atau mencari sumber penting. Permainan-permainan ini juga memberi ganjaran kepada pemain yang sabar dan belajar cara terbaik untuk maju dalam permainan mereka.
Dalam panduan ini, kami akan menunjukkan kepada anda bagaimana untuk menjadi ‘pakar‘ dalam Demon’s Souls dan belajar asas-asas permainan, dalam cara yang kurang susah dan menakutkan. Dengan itu, saya telah menyenaraikan beberapa petua penting untuk membantu pemain baru yang ingin mencabar Demon’s Souls. Petua di bawah tidak akan menjamin kemenangan anda serta merta, tetapi jika anda faham dan ikut petua ini satu-satu, saya berani kata pengalaman anda akan makin mudah dalam masa beberapa jam. Mari kita mulakan!
Kekalkan motivasi
Memang mudah untuk kita hilang semangat terutamanya apabila tersekat di kawasan yang sama berjam-jam. Inilah masanya untuk kita berehat dan tumpukan perhatian pada perkara lain kerana permainan pun mempunyai beberapa kawasan untuk kita lawat. Yang penting di sini adalah “mati tidak bermaksud kalah“. Ia hanya bermaksud bahawa apa yang kita lakukan pada masa itu tidak efektif. Mungkin pendekatan kita salah seperti mencuba untuk ‘block‘ sedangkan anda perlu mengelak, atau ‘timing‘ yang terlalu lambat.
Apabila kita mati, anda akan kembali ke ‘checkpoint‘. Nasib baiklah, sebarang ‘progress‘ tidak hilang sekali. Kelebihan Demon’s Souls adalah semua kekal sama kecuali pemain. Musuh masih mempunyai serangan yang sama dan akan keluar di tempat yang sama. Jadi kita pun tidak perlu pening kepala untuk merancang pergerakan seterusnya.
Satu perkara penting yang saya ingin beritahu adalah jangan terlalu bergantung pada ‘Souls‘ (mata wang dalam permainan). Jika anda mati, Souls tidak akan terus hilang tetapi akan jatuh di tempat yang sama anda mati. Selepas hidup semula, anda perlu bergegas untuk mendapatkannya semula, tetapi jika anda mati sekali lagi tanpa sengaja, maka hilanglah Souls ini selama-lamanya. Sekiranya anda mempunyai cara lain untuk dapatkan jumlah Souls yang sama seperti yang hilang itu, anda tidak perlu risau lagi kerana tahu anda dapat memperolehnya kembali. Apa yang hilang dalam permainan boleh diperolehi semula dari sumber. Cuma anda perlu menerima hakikat ini.
Petua: Anda perlu ‘farming‘ sahaja di Island’s Edge kerana kita boleh dapat sehingga 1.8K Souls setiap kali selesai. Bila dengar kuantiti sebanyak itu, mesti anda pun lega kan.
Kesabaran adalah sifat paling bagus
Saat jumpa musuh, tidak kira musuh biasa atau bos, jangalah kita main tekan je butang macam ARPG biasa. Ini adalah cara paling teruk untuk bermain Demon’s Souls. Permainan ini mengutamakan mereka yang bersabar dan sanggup meluangkan masa untuk belajar. Bukan kepada mereka yang sesuka hati berlawan. Sebagai contoh, dalam level 1-2, ada seekor naga bernama Red Dragon yang akan mengejar kita di jambatan. Jika anda tidak bersedia, jangan lawan. Kalau tidak, saya berani jamin anda akan sentiasa mati.
Namun, jika anda bersedia dan menggunakan senjata yang sesuai, anda boleh membunuh naga itu, dan ia tidak akan hidup semula selepas itu. Saya memerlukan kira-kira 1 jam untuk menewaskan naga ini dengan busur dan anak panah dan pertarungan pun agak membosankan kerana kita ulang taktik yang sama. Apa ganjaran yang saya dapat kalau bersabar? Tiada lagi naga menjengkelkan untuk mengejar kita, dan saya pun boleh melawat semua kawasan tanpa masalah.
Petua: Untuk betul-betul selamat dari serangan naga, panjat salah satu menara di sisi.
Naga inilah halangan pertama yang membuat saya benar-benar ingin mengalah. Tetapi apabila dapat tahu naga ini akan mati buat selama-selamanya, memang semangat saya pun kembali semula. Lagi-lagi bila dapat tahu kita akan diberi bonus 10k Souls.
Yang bagusnya apabila bersabar adalah kita belajar bagaimana untuk meramal musuh. Seperti yang kita semua tahu, musuh Demon’s Souls sangat kuat tetapi corak pergerakan mereka boleh dibaca. Kebanyakan musuh hanya akan menyerang dua hingga tiga kali sebelum berhenti. Semuanya mudah untuk mengelak jika kita menumpukan perhatian dan apabila mereka berhenti menyerang, ini adalah masa paling sesuai untuk kita melakukan menyerang balas bagi melakukan ‘damage‘ yang tinggi.
Apa yang saya cuba katakan di sini ialah kita tidak perlu tergesa-gesa. Permainan ini memberi anda banyak masa untuk belajar setiap sistem, dan setelah anda memahami sistem tersebut, permainan ini pun menjadi lebih mudah. Saya juga harus berterima kasih kepada PlayStation 5 kerana tidak ada langsung kelewatan atau ‘delay‘, jadi saya dapat mengekalkan momentum tanpa konsol memperlahankan saya.
Sekiranya ada kawasan atau bos tertentu yang terlalu sukar dan kita pun tidak ada masa terluang, saya akan sarankan anda cuba cara ‘Soul Form‘ di mana kita boleh meminta bantuan pemain lain. Saya tidak begitu mengesyorkan anda menggunakan kaedah ini kerana kita terlalu bergantung kepada pemain lain, tetapi ini adalah cara terakhir jika anda benar-benar buntu.
Penjelasan tentang Item Load dan Equip Load
Sesuatu yang perlu lebih penjelasan oleh permainan adalah sisten Item Load dan Equip Load, terutamanya kerana Item Load tidak wujud dalam permainan Souls moden. Equip Load agak mudah untuk faham. Semakin berat peralatan kita, semakin sukar untuk kita ‘roll‘ (mengelak). Di permulaan, kelas Knight mempunyai nilai 80% equip load kerana perisainya yang berat, Akibatnya, ini membuatkan Knight susah untuk mengelak serangan musuh. Dengan menurunkannya hingga 50%, barulah kita boleh mengelak dengan lancar. Untuk menambah nilai Equip Load, kita hanya perlu meningkatkan Endurance (Stamina).
Walau bagaimanapun, Item Load amat berbeza kerana mengira nilai barangan yang tidak kita gunakan (tidak equip). Setiap senjata, barang penyembuhan, dan lain-lain akan meningkatkan jumlah Item Load. Untuk menambah nilai Item Load, kita perlu meningkatkan Vitality (Health). Untuk mudahkan perkara ini, Demon’s Souls membolehkan kita menghantar item ke Stockpile Thomas di Nexus jika kita mempunyai terlalu banyak barang. Ini adalah fitur yang bagus, memandangkan diri akan dihukum jika tidak menguruskan inventori dengan betul.
Selesaikan setiap kawasan & aspek World Tendency
Dalam Demon’s Souls, kita ada 5 kawasan untuk teroka. Setiap kawasan pula mempunyai 3 ‘bahagian‘, di mana setiap bahagian mempunyai Archstone (checkpoint). Selepas membunuh bos pertama (Phalanx), diri mesti semangat untuk teroka bahagian seterusnya kan? Jangan. Kekuatan musuh akan mengikut setiap bahagian jadi ia lebih bagus untuk selesaikan kawasan-kawasan lain di bahagian pertama sebelum memulakan bahagian kedua.
Beberapa kawasan juga merupakan tempat ‘farming‘ yang bagus. Stonefang Tunnel (World 2-1) adalah sumber yang bagus untuk dapatkan bahan upgrade. Ini kerana The Filthy Man (NPC) menjual banyak bahan upgrade di sebelah Archstone, dan musuh pun mempunyai peluang tinggi untuk menjatuhkan banyak sumber sekaligus. Selain itu, Skeleton (musuh) di Island’s Edge (World 4-1) memberi sumber wang yang sangat lumayan, memandangkan kita boleh menjual barang yang dijatuhkan oleh mereka.
Kawasan pertama (World 1-1) juga mengajar kita asas-asas permainan dan membantu kita menentukan sama ada ‘build‘ ini sesuai atau tidak. Kawasan ini mudah sahaja, jadi anda boleh mencipta watak baru untuk mencuba setiap build berbeza jika tidak berpuas hati dengan yang sebelum. Masa inilah kita mencari rentak sendiri untuk memahami permainan.
Petua: Sentiasa bawa senjata simpanan untuk setiap kawasan. Buat masa ini, saya menggunakan Greatsword, yang melakukan serangan besar-besaran. Kawasan Depraved Chasm (World 5-1) penuh dengan lorong-lorong sempit, dan saya tidak dapat menggunakannya kerana pedang saya selalu tersekat di dinding.
Manfaatkan jalan pintas
Disebabkan Demon’s Souls tidak mempunyai banyak Archstone (checkpoint), banyak kawasan mempunyai jalan pintas supaya anda tidak perlu mengulangi bilik yang sama selepas mati. Jangan takut untuk meneroka, kerana hampir semua jalan pintas ini sangat-sangat ‘linear‘ dan tidak akan sesatkan anda. Belajar untuk menggunakan jalan pintas dan ia akan menjimatkan banyak masa.
Kehebatan melarikan diri
Kita tidak perlu lawan setiap kali. Salah satu perkara penting yang saya belajar ialah kita boleh mengelakkan diri daripada pertarungan tanpa mengorbankan apa-apa. Menentukan bila saya harus berlari dan bila saya harus bertarung adalah sangat penting untuk pertarungan bos, kerana kita pun perlu menjimatkan sumber. Jika anda memilih untuk mengelak, pastikan diri berlari sahaja. Jangan pusing belakang semata-mata untuk melihat musuh yang mengejar kerana mereka dengan mudah dapat mengejar anda jika kita leka.
World Tendency
Sesuatu yang bagus untuk anda semua tahu adalah World Tendency. Setiap perkara yang kita lakukan akan mempengaruhi World Tendency, lalu membuatnya beralih ke arah Pure Black atau Pure White. Pure Black menjadikan musuh lebih sukar dengan memberi mereka lebih banyak HP dan damage, tetapi akan menjatuhkan sumber peralatan yang lebih baik manakala Pure White membuat nyawa musuh semakin berkurangan dan menjatuhkan barang penyembuhan yang lebih baik.
Setiap kawasan mempunyai World Tendency tersendiri, jadi anda boleh memilih apa yang sesuai mengikut keperluan. Sebagai pemain baru, antara perkara yang mengubah World Tendency adalah seperti berikut:
- Membunuh Red Dragon di Lord’s Path (World 1-2) akan meningkatkan Pure White.
- Membunuh Black Phantom akan meningkatkan Pure White.
- Mati dalam Body Form akan meningkatkan Pure Black. Setiap kali anda mati dalam Body Form, ia akan meningkatkan dengan lebih banyak.
- Membunuh pemain lain akan meningkatkan Pure Black.
Kelas paling sesuai untuk pemain baru
Royalty
Royalty adalah kelas terbaik untuk pemain baru. Ini adalah kelas yang mengutamakan sihir, tetapi juga dilengkapi dengan Buckler dan Rapier, yang merupakan senjata jarak dekat yang bagus. Selain daripada sihir Soul Arrow yang mampu ‘one-shot‘ kebanyakan musuh pada awal permainan, set kombo yang disertakan dengan Royalty juga amat mudah untuk dimahirkan.
Dengan memberi dua ‘playstyle‘, anda boleh memilih untuk menyerang musuh dari jauh dengan sihir, atau belajar pertempuran jarak dekat kerana Buckler adalah senjata yang baik untuk menepis serangan musuh. Ia juga merupakan salah satu kelas di Soul Level 1, yang bermaksud kita boleh menaikkan tahap kelas ini dengan lebih murah berbanding kelas lain.
Satu kelemahan Royalty adalah ia tidak bagus untuk melawan sekelompok musuh yang ramai. Jika anda diserang oleh lebih dari 2 musuh (ini berlaku pada awal World 1-1), memang banyaklah masalah yang menimpa. Namun, Royalty adalah kelas yang hebat kerana ia memberi anda pelbagai peralatan dan sihir, serta memudahkan kita meningkatkan tahap untuk memilih playstyle pilihan kita.
Knight
Knight adalah kelas berasaskan pertahanan, dan bagus untuk orang yang ingin mempelajari sistem permainan dengan cepat. Sebagai Knight, anda tidak boleh mengelak (roll) kerana perisai yang terlalu berat, dan tidak akan ada senjata jarak jauh sehingga menjumpai crossbow. Namun, Knight mempunyai perisai yang 100% akan menghalang serangan musuh dan teknik pedang yang cukup baik. Ia mempunyai corak serangan ‘stab‘ dan ‘sweep‘, yang memberi pelbagai pilihan jarak dekat, dan mampu menangani sekelompok musuh yang ramai dan pertarungan 1v1. Jauh lebih hebat daripada kelas Soldier!
Kelebihan perisai yang 100% akan menghalang serangan musuh juga bagus untuk mengajar anda tentang aspek kesabaran. Kita akan mula belajar corak pergerakan musuh dan fikir bila masa terbaik untuk menyerang balas. Perisai juga boleh ‘parry‘, jadi jika anda ingin belajar parry, di sini lah tempatnya untuk belajar.
Ramai yang mungkin ‘turn-off‘ dengan tahap kesukaran Demon’s Souls dan saya sendiri pon mengaku ia mencabar. Untuk menjelaskan dengan lebih khusus, Demon’s Souls menumpukan perhatian kepada kemajuan pemain secara beransur-ansur. Sekiranya anda tidak suka permainan ini selepas beberapa jam mencuba, jangan rasa kecewa atau sedih. Jangan memaksa diri untuk memainkan sesuatu yang membuat tertekan.
Tetapi jika semangat masih kental untuk terus bermain, anda akan mendapat satu pengalaman yang hebat ketika melihat diri maju dalam permainan. Memang memuaskan bila kita akhirnya belajar corak pergerakan bos atau menamatkan pertarungan tanpa mengalami sebarang damage. Itu saya boleh jamin. Demon’s Souls pertama pun sudah cukup hebat sehingga mencipta sub-genre baru dalam dunia gaming, tetapi Demon’s Souls versi Remake ternyata lebih unggul, lagi-lagi bila kita bermain di PlayStation 5.
Itu sahaja untuk panduan ini, jangan mengalah ya kawan-kawan! Untuk segala liputan kami tentang Demon’s Souls, sila lawat pautan ini.

@gamersantaimy
Discussion about this post