Bercerita tentang adaptasi Netflix, mesti ramai yang sudah tahu bagaimana hasil akhir sesebuah siri tersebut. Lebih-lebih lagi dengan francais game. Siri Resident Evil boleh tahan juga skor rendah yang diberikan oleh penonton. Baru-baru ini keluar pula adaptasi game lain daripada Netflix berdasarkan game Cyberpunk 2077 yang bertajuk Cyberpunk: Edgerunners. Pada mulanya, kami agak skeptikal juga untuk menontonnya, tetapi selepas sahaja menonton episod pertama, kami tidak boleh berhenti menontonnya. Nak tahu kenapa? Teruskan baca review kami ini!
Darjat kehidupan menjadi pengukur
Kisah Cyberpunk: Edgerunners membawa anda mengikuti kisah David Martinez, seorang pelajar cemerlang tetapi pelbagai perkara telah terjadi yang menjadikannya seorang budak jalanan tanpa arah tuju. Kehidupan di Night City bukanlah mudah untuk golongan jalanan melainkan mereka yang berprestij. Tetapi segalanya berubah apabila dia berjumpa dengan Lucy, seorang wanita misteri dan mula berjumpa dengan kumpulan mercenary di bandar tersebut. Di sinilah bermulanya kehidupan David sebagai seorang “Edgerunner”!

Anime ini hanya ada 10 episod sahaja tetapi impak yang diberikan dalam setiap episod memang menusuk ke jiwa. Mungkin bagi sesetengah orang fikir ceritanya agak laju tetapi bagi kami ianya sudah cukup sempurna. Anda akan diperkenalkan dengan ramai watak tetapi memang senang untuk anda mengingati mereka kerana setiap watak itu mampu meninggalkan kesan dalam setiap episod. Walaupun masa kita bersama mereka agak singkat, tetapi pelbagai adegan bermakna yang telah ditunjukkan dalam ceritanya. Kami tidak mahu cerita lebih, tetapi kalau anda ingin menontonnya, jangan lupa sediakan tisu.

Replika Night City yang mantap
Kalau anda ingin tahu, studio yang menghasilkan animasi Cyberpunk: Edgerunners merupakan Studio Trigger. Studio sama yang membawa siri hebat seperti Gurren Lagann, Darling in The FranXX, Kill la Kill dan banyak lagi! Senang cerita, memang animasinya mantap habis. Malah studio ini juga membawa replika Night City dengan sangat baik. Kalau anda bermain game Cyberpunk 2077, anda pasti mengenali beberapa tempat yang ditunjukkan dalam anime. Palet warna yang digunakan sangat sesuai dalam menggambarkan bandar neon futuristik tersebut. Segala UI yang ditayangkan memang padan dan sangat kemas.

Aksinya juga tidak perlu cerita lebih. Memang mantap habis. Studio Trigger memang selalu memberikan penontonnya sebuah aksi yang sungguh extra dan ini termasuklah dengan adegan gore yang ada dalam anime. Ia mengingatkan kami kepada Kill la Kill tetapi brutalnya lebih dahsyat daripada anime tersebut. Tetapi memandangkan dunia Cyberpunk itu sendiri penuh dengan bahaya, jadi memang tidak pelik dengan segala aksi brutal yang ditayangkan.

Watak-watak yang seronok untuk bersama
Kita bertemu dengan sekumpulan Cyberpunk yang mengambil kerja-kerja sambilan untuk mendapatkan ganjaran yang lumayan. Mereka ini jugalah yang akan membuatkan anda mengalirkan air mata sepanjang siri. Kami suka melihat hubungan yang mereka bina antara satu sama lain. Walaupun mereka tidak diberikan latar belakang yang mendalam tetapi anda seperti sudah mengenali mereka dengan sepenuhnya. Sudah tentu dengan 10 episod, tidak banyak perkara yang terjawab. Tetapi mengetahui latar belakang dunia itu sendiri sudah memadai.

Kesimpulan
Cyberpunk: Edgerunners merupakan sebuah siri animasi yang berjaya membawa dunia game itu dalam sebuah penceritaan baru. Memang berbaloi untuk anda tonton siri ini lebih-lebih lagi dengan kualiti daripada Studio Trigger yang hebat. Dengan sekumpulan watak unik, ia membawa anda meneroka Night City yang berbeza daripada game. Digabungkan dengan soundtrack daripada game, pemain Cyberpunk 2077 pasti mengingati semula bandar futuristik tersebut. Tidak peliklah mengapa ramai yang kembali bermain game itu selepas menonton siri anime ini.

Kalau anda ingin menontonnya, jangan lupa untuk melanggan Netflix. Untuk mendapatkan segala liputan mengenai Cyberpunk daripada kami, sila klik pautan ini.
@gamersantaimy
The Review
Cyberpunk: Edgerunners
PROS
- Visual dan animasi mantap
- Watak-watak menarik dan menyeronokkan
- Penceritaan yang menyentuh perasaan
CONS
- Sari kata sedikit berbeza
Discussion about this post