CD Projekt Red secara rasmi mengumumkan bahawa Cyberpunk 2, sekuel yang dinanti-nantikan kepada Cyberpunk 2077, kini telah memasuki fasa pre-production (praproduksi).
Sebelum ini dikenali dengan nama kod Project Orion, projek ini mula bergerak ke hadapan selepas menyelesaikan fasa konsep beberapa minggu lalu, menandakan langkah penting dalam peringkat awal pembangunannya.
Congratulations to the team for this milestone ↙️ pic.twitter.com/Uw5EckDvAE
— CD PROJEKT IR (@CDPROJEKTRED_IR) May 28, 2025
Cyberpunk 2077 sebelum ini menjadi salah satu game yang paling banyak dibincangkan dalam beberapa tahun kebelakangan, meskipun bukan semuanya positif.
Selepas bertahun-tahun dipenuhi dengan jangkaan tinggi, game ini akhirnya dilancarkan pada tahun 2020 namun menerima banyak kritikan berikutan masalah teknikal, sehingga membawa kepada tawaran bayaran balik dan penarikan sementara dari PlayStation Store.
Walau bagaimanapun, usaha berterusan CD Projekt Red untuk memperbaiki game tersebut telah mengubahnya menjadi kisah kejayaan, dan kini Cyberpunk 2077 diiktiraf sebagai RPG yang sangat baik.
Kejayaannya semakin kukuh dengan perancangan pelancaran untuk Nintendo Switch 2, yang bakal memperkenalkan dunia cyberpunk kepada generasi pemain baharu.
Cyberpunk 2 kini sedang dibangunkan oleh studio baharu CD Projekt Red yang berpangkalan di Boston. Walaupun maklumat lanjut masih belum didedahkan, game ini dijangka akan meneroka kawasan baharu dalam dunia futuristik yang penuh cabaran.
Peralihan ke fasa praproduksi menandakan fokus pasukan kini tertumpu kepada pembangunan prototaip ciri-ciri utama, penetapan hala tuju permainan, dan perancangan keseluruhan produksi.
Mengambil iktibar daripada pelancaran pertama yang penuh liku, CD Projekt Red nampaknya lebih berhati-hati dan mahu memastikan asas yang kukuh untuk sekuel ini.
Walaupun Cyberpunk 2 mungkin mengambil masa beberapa tahun sebelum siap sepenuhnya, peminat tidak perlu menunggu terlalu lama untuk kandungan baharu. CD Projekt Red turut giat membangunkan The Witcher 4 sebagai tajuk utama mereka yang seterusnya.
@gamersantaimy
Discussion about this post