Salah satu acara terbesar Malaysia, Comic Fiesta 2023 telah pun berlangsung pada bulan yang lalu, mengumpulkan ramai pengunjung dalam dan luar negara! Acara tersebut sudah pun sinonim dalam komuniti ACG di Malaysia malah acara yang dinanti-nantikan ramai setiap tahun. Kami berpeluang untuk bertanyakan beberapa soalan kepada penganjur Comic Fiesta mengenai Vtuber, maklum balas pengunjung dan juga ulang tahun ke-20 acara.

Comic Fiesta 2023 membawa ramai tetamu-tetamu hebat daripada pelbagai negara dan tidak dilupakan tetamu maya yang lebih dikenali sebagai Vtuber. Apabila ditanya mengenai kehadiran Vtuber ke acara itu, penganjur mengatakan bahawa Vtuber merupakan satu aspek dunia animasi, komik dan game yang kompleks. Mereka turut memerhatikan perkembangan Vtuber dan memilih tetamu terbaik, yang peminat ingin lihat.

Acara ini mendapat sambutan hangat saban tahun dan kini jumlah pengunjung mencecah 70k pada 2023. Sudah tentu akan ada masalah dalam mendapatkan tiket acara dan kesesakan yang berlaku semasa acara. Melihat masalah-masalah yang berlaku semasa Comic Fiesta 2022, kami bertanya mengenai perubahan yang mereka bawakan pada tahun 2023 untuk acara tersebut. Pihak penganjur menjawab bahawa mereka pun meneliti masalah yang berlaku dan menanganinya daripada pelbagai sudut. Antara perubahan besar yang dilakukan pada tahun lalu adalah:

- Laluan pejalan kaki di pelbagai kawasan telah meningkat dari 25 – 40%
- Ruang acara keseluruhan telah meningkat sebanyak 30%
- Tiket-tiket petang diperkenalkan
- Memperkenalkan pentas kedua untuk menampung lebih ramai pengunjung
- Mewujudkan pintu masuk kedua acara
Mereka turut menambah bahawa masih banyak lagi perkara yang perlu dilakukan tetapi mereka gembira melihat usaha yang diberikan membuahkan hasil. Maklum balas mengenai pengurusan barisan dan pengunjung juga telah bertambah baik dengan ketara berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Kalau anda ingin tahu, tahun 2023 merupakan ulang tahun Comic Fiesta ke-20. Sejak dari awal, pelbagai perubahan telah berlaku sehingga Comic Fiesta 2023 berlangsung. Melihat kejayaan tersebut, penganjur mengongsikan perasaan mereka untuk detik hebat itu.
“Kami berterima kasih kepada peminat kerana menyokong kami selama 20 tahun melalui susah dan payah dan hujan dan cerah. Kami berharap untuk terus melakukan apa yang kami mampu untuk komuniti ACG Malaysia.” jawab mereka.

Anda yang tidak berpeluang untuk hadir ke Comic Fiesta 2023, bolehlah baca laporan santai kami sepanjang acara tersebut. Tidak sabar untuk lihat apa yang akan dibawa ke acara tersebut pada tahun akan datang!
@gamersantaimy
Discussion about this post