Dalam satu pengumuman yang agak mengejutkan, Konami telah mendedahkan semasa siaran langsung Press Start bahawa remake untuk game klasik PlayStation tahun 1999, Silent Hill, kini sedang dibangunkan. Projek ini diketuai oleh Bloober Team, studio yang sebelum ini menerima pujian menerusi remake Silent Hill 2.
Pengumuman tersebut turut disertakan dengan trailer pendek yang memaparkan logo Silent Hill bersama runut ikonik ciptaan Akira Yamaoka, sekaligus mengesahkan kerjasama yang pertama kali diumumkan pada Februari lalu.
Ketika itu, Konami dan Bloober Team mengesahkan bahawa mereka sedang bekerjasama menghasilkan sebuah game baru berdasarkan IP milik Konami.
Buat masa ini, maklumat mengenai remake ini masih sangat terhad—tiada tarikh pelancaran atau platform yang diumumkan—namun pelantikan Bloober Team memberikan harapan tinggi kepada elemen klasik dengan pendekatan seram psikologi yang lebih moden.
Silent Hill pertama mengikuti kisah Harry Mason, seorang lelaki biasa yang mencari anak angkatnya, Cheryl, yang hilang di bandar Silent Hill yang dilitupi kabus tebal dan dikuasai oleh penuh aura seram.
Dikenali dengan atmosferanya yang mengerikan, teka-teki yang mencabar, serta makhluk-makhluk yang menyeramkan, game ini telah menjadi rujukan utama dalam genre survival horror.
Dengan pengalaman dan kepakaran Bloober Team, ramai peminat kini menanti-nantikan interpretasi baru yang kekal setia pada jiwa asal game ini, walaupun Konami masih belum mendedahkan sepenuhnya apa yang menanti di jalan-jalan berkabus Silent Hill.
@gamersantaimy
Discussion about this post