Kali terakhir kita melihat ARCANE, adik-beradik Vi dan Jinx berada di laluan yang berbeza dalam peperangan yang semakin memuncak antara Piltover dan Zaun. Tidak lama lagi, kita akan melihat kesimpulannya apabila ARCANE Season 2 Part 1 ditayangkan pada 9 November.
Anda boleh menonton klip rasmi daripada Netflix di bawah:
Secara lebih khusus, ARCANE Season 2 akan tiba pada November 2024 dalam tiga babak — 9, 16, dan 23 November — dan adalah bab terakhir dalam siri animasi ini. Menurut pencipta bersama Christian Linke, “ia sudah lama dinantikan. Walaupun kisah ARCANE akan tamat, tetapi ini hanyalah permulaan kepada banyak lagi cerita yang mereka mahu sampaikan di Runeterra.”

ARCANE menceritakan kisah asal tentang dua champion ikonik dari League of Legends yang kebetulan adalah adik-beradik. Jinx — juga dikenali sebagai Powder — dan Vi mendapati diri mereka di pihak yang berbeza dalam perang yang sedang memuncak antara bandar utopia Piltover dan kawasan tertindasnya, Zaun. Powder dan Vi mengalami perubahan besar menjelang akhir musim pertama, apabila Powder menjadi Jinx dan Vi membuktikan dirinya sebagai seorang pahlawan yang tidak boleh dipandang rendah.

Season 2 bermula selepas kejadian besar yang berlaku di penghujung Season 1, di mana Jinx melancarkan batu permata Hextech yang dicuri ke arah majlis Piltover. Jinx kini perlu menghadapi keputusan terburu-burunya, yang mungkin telah menjejaskan sebarang kemungkinan penyelesaian antara Piltover dan Zaun, serta kesan terhadap hubungannya dengan Vi.

Bagi mereka yang tidak tahu, ARCANE diadaptasi daripada MOBA popular League of Legends, yang dibangunkan dan dilancarkan oleh Riot Games pada tahun 2009. Siri animasi ini dibina oleh pencipta bersama Linke dan Alex Yee dan diterbitkan oleh studio animasi Perancis, Fortiche Production, dengan kerjasama Riot Games.

Selain itu, Hailee Steinfeld dan Ella Purnell — yang masing-masing menyuarakan Vi dan Jinx — turut mendedahkan bahawa akan ada rancangan baharu yang dipanggil Afterglow. Afterglow membolehkan peminat “belajar semua yang mereka perlu tahu tentang setiap babak”. Butiran lanjut tentang Afterglow akan diumumkan kemudian.
Bagi mereka yang berminat, ARCANE Season 1 kini boleh ditonton di Netflix.
@gamersantaimy
Discussion about this post