Tanpa diduga, anime Boruto kini trending di seluruh dunia! Bagaimana fenomena ini boleh berlaku sedangkan kita tahu peminat ada “love-hate relationship” dengan siri ini? Rupanya ramai peminat yang teruja selepas menonton Boruto: Naruto Next Generations episod 217, yang menampilkan pertarungan epik antara Uzumaki Naruto dalam transformasi Baryon Mode dan antagonis utama (buat masa ini) iaitu Otsutsuki Isshiki.
Setelah menunggu sekian lama, anime akhirnya memasuki story arc yang sama seperti di manga, di mana Naruto terpaksa berhadapan dengan Isshiki yang mempunyai impian sama dengan Kaguya Otsutsuki. Sudah tentu, Naruto tidak akan mendiamkan diri maka mula lah sebuah pertarungan antara dua entiti paling kuat dalam dunia shinobi. Seperti yang saya kata di atas, pertarungan ini menyaksikan Naruto menggunakan transformasi barunya, Baryon Mode, yang sememangnya handal tetapi juga membahayakan Naruto. Ditunjukkan buat kali pertama untuk versi anime, Naruto terpaksa menggunakan mod ini untuk bertarung dengan Isshiki yang terbukti terlalu kuat walaupun Naruto dan Sasuke bergabung kuasa.

Ramai yang memuji episod ini kerana koreografi pertarungan yang mantap dan lancar, malah bahkan merasakan bahawa visi dan reka bentuk animasi untuk episod itu lebih cemerlang berbanding bab yang diadaptasikan dari manga. Ramai peminat juga sedar bahawa episod ini adalah titik permulaan apabila penulis lama Ukyo Kodachi digantikan dengan pencipta asal Naruto, Masashi Kishimoto. Ramai peminat dapat merasakan perubahan daripada segi jalan cerita, dan secara umum, perubahan ini merupakan sesuatu yang bagus kerana mengingatkan mereak semua kepada jalan cerita dan rentak aksi dalam siri Naruto versi klasik.

Sempena berita ini, beberapa juruanimasi yang terlibat dalam episod ini tidak dapat menahan kegembiraan mereka, dan memuat naik animasi kasar untuk pertarungan Naruto dan Isshiki supaya peminat dapat melihat proses penghasilan di sebalik tabir. Salah satu juruanimasi, Mitchell Gonzalez, menyatakan bahawa dia memang adalah peminat lama kepada siri ini sejak kecil dan gembira dapat menjadi sebahagian daripada episod ini. Nak tahu betapa bagusnya animasi kali ini untuk Boruto? Korang tonton saja contoh-contoh di bawah.
Bagi mereka yang tidak tahu, episod ini dihasilkan oleh Studio Pierrot, yang bertanggungjawab untuk anime Naruto sejak tahun 2002. Episod Boruto 217 diarah dan ditulis oleh Nozomi Fukui, yang sebelum ini mengerjakan pelbagai filem dalam francais Naruto, serta Bleach dan Pokemon.
Apa pendapat anda? Adakah anime Boruto trending semata-mata kerana Naruto sahaja? Jom kongsikan pendapat di ruang komen! Untuk segala liputan kami tentang Naruto termasuk info lengkap tentang Baryon Mode, sila tekan pautan ini.
Sumber – Twitter, YouTube
@gamersantaimy
Discussion about this post