Acer mengumumkan dua laptop gaming berkuasa tinggi, Predator Helios dan sepasang monitor gaming Predator. Laptop-laptop ini menampilkan reka bentuk serba baru dengan saiz paparan 16 inci dan 18 inci, pemproses mudah alih terbaru Generasi ke-13 Intel® Core dan GPU NVIDIA® GeForce RTX 40 Series, menjadikan ia laptop gaming Acer paling berkuasa. The Predator X45 tampil dengan monitor lengkung bersaiz besar dan menerima anugerah CES Innovation Award dalam kategori “Computer Peripherals & Accessories”. Predator X45 dan X27U mempunyai teknologi OLED dengan refresh rate 240 Hz.
Berikut adalah rumusan lengkap:
Laptop gaming Predator Helios 16, Helios 18
Predator Helios 16 (PH16-71) dan Predator Helios 18 (PH18-71) serba baharu menawarkan teknologi terkini kepada siri laptop gaming paling berkuasa Acer. Dengan reka bentuk baharu sepenuhnya dan sistem terma yang dinaik taraf, kedua-duanya menawarkan model dengan pemproses Generasi ke-13 Intel Core™ i9 atau i7 HX yang digandingkan dengan GPU laptop NVIDIA GeForce RTX 4080 (MGP sehingga 165W) dan pelbagai jenis ciri-ciri gaming terbaik yang mesti dimiliki.

Pemproses Generasi ke-13 Intel Core baharu melangkaui prestasi untuk membolehkan PC anda membuat lebih banyak lagi. Teras prestasi yang lebih pantas dan reka bentuk hibrid memberikan kecekapan pelbagai tugas dan hiburan imersif ketika bermainan permainan video kegemaran anda, tanpa gangguan. GPU NVIDIA GeForce RTX 40 Series yang baharu memanfaatkan seni bina NVIDIA Ada Lovelace yang memberikan lonjakan kuantum dalam kedua-dua prestasi dan grafik berkuasa AI.
Pengguna boleh mengalami dunia maya seakan dunia sebenar, dan lonjakan prestasi dengan pengesanan sinar, bingkai berkualiti tinggi dengan DLSS 3, dan kependaman sistem yang dioptimumkan oleh Reflex untuk mendapatkan kelebihan daya saing. Akhir sekali, RAM DDR5-4800 MHz sehingga 32 GB dan SSD PCIe Gen4 NVMe sehingga 2 TB dalam RAID 0 menjadikannya kuasa mudah alih yang mengagumkan, sesuai untuk bermain permainan AAA yang paling mencabar.
Predator Helios 16 menawarkan paparan 16 inci (16:10) WQXGA (2560×1600) pada 165 Hz atau 240 Hz atau panel Mini LED [] pada 250 Hz, dikuasakan oleh teknologi AUO AmLED yang menyokong kecerahan puncak 1000 nits dengan nisbah kontras tinggi 1,000,000:1 dan liputan 100% gamut warna DCI-P3 untuk warna yang terang.
Predator Helios 18 memaparkan paparan 18 inci (16:10) yang menakjubkan dengan pilihan berikut: WUXGA (1920×1200) pada 165 Hz, WQXGA (2560×1600) pada 165 Hz atau 240 Hz, atau paparan 250 Hz Mini AUO yang sangat laju dan mampu mempamerkan nisbah kontras ambien tiga kali lebih tinggi daripada paparan konvensional, serta menyokong 1000 ‘local dimming zone’ bagi membolehkan laptop terus diguna walaupun dalam pencahayaan lemah.
Resolusi yang lebih tinggi serta ‘refresh rate’ yang laju menjadikan imej seakan meluncur merentasi skrin dengan ‘ghosting’ dan ‘tearing’ yang minimal. Panel 18 inci membawakan permainan mudah alih pada skala yang lebih besar dan sesuai untuk pelbagai ketetapan monitor serta membawa aksi ke tahap baharu dengan kejelasan dan perincian imej yang menakjubkan.
Bagi memastikan komponen-komponen laptop yang berkuasa tinggi sentiasa sejuk, laptop Predator baharu ini tampil dengan solusi terma yang ditambah baik, dengan dwi-kipas besi 5th Gen AeroBlade™ 3D yang dibina secara spesifik, dan paip vektor haba berbentuk segi empat untuk pengalihan haba yang lebih baik. Sebagai tambahan, kesan gris haba cairan logam yang memberikan kesan penyejukan, melengkapkan prestasi termal laptop ini.
Menempatkan semua teknologi berkuasa tinggi ini ialah reka bentuk baharu untuk siri Helios, dengan chasis berwarna hitam matte dengan bahagian tepi yang kemas dan bezel nipis. Beberapa port diletakkan di belakang bersekali dengan bar lampu RGB, yang mana ia boleh diubah.

Reka bentuk baharu ini dilengkapi dengan papan kunci berlampu belakang LED mini dengan ‘key travel’ 1.8mm dan N-key anti-ghosting. Papan kekunci dengan lampu bagi setiap kekunci itu telah direka bentuk semula bagi memaparkan warna seragam (dengan halo yang dikurangkan) dan kesan pencahayaan dinamik yang lancar. Ia memerlukan kurang tenaga dan membantu mengeluarkan haba dengan cekap dengan lampu latar yang direka khas.
Kekunci Mod khusus baharu menyediakan penukaran mod segera untuk prestasi permainan yang dipertingkatkan, manakala kekunci PredatorSense memudahkan pembukaan aplikasi dengan cepat. Pengguna juga boleh menggunakan PredatorSense untuk membuka fitur pencahayaan Predator Pulsar bagi penyesuaian tambahan pada lampu latar RGB di papan kekunci. Selain itu, pusat kawalan permainan Acer, iaitu PredatorSense telah dikemas kini kepada versi 4.0 dan menawarkan reka bentuk lebih mantap yang memudahkan kawalan tetapan dan pemantauan sistem, manakala ciri Pengurus Senario baharu membolehkan penciptaan profil peribadi untuk ketetapan permainan yang berbeza.
Pemain boleh kekal berhubung kerana laptop Predator baharu ini hadir dengan sokongan band frekuensi Intel® Killer™ E2600 Ethernet Controller, Intel® Killer™ Wi-Fi 6E AX167 untuk gameplay yang lancar. Laptop gaming ini meliputi pelbagai ‘peripheral’ dengan port USB 3.2 Gen2, termasuk HDMI 2.1, dua USB Type-C Thunderbolt™ 4 yang menyokong ‘power delivery’ dan pembaca kad Micro SD™. Laptop Predator Helios 16 dan Predator Helios 18 juga menawarkan Game pass Xbox Game Pass atau PC selama satu bulan, memberikan pengguna akses kepada ratusan permainan video PC berkualiti tinggi.
Spesifikasi rasmi akan dikongsi apabila kita mendapat lebih banyak butiran lanjut.
Gaming monitor Predator X45 & X27U
Monitor gaming berjenama Predator terbaru dari Acer, Predator X45 dan Predator X27U menampilkan paparan OLED dan prestasi yang sangat pantas yang akan mengujakan pemain. Predator X45 UWQHD 45 inci (3440×1440) ialah monitor melengkung 800R dengan bingkai nipis dan ultra lebar.

Ia meluaskan medan penglihatan dan mendalamkan lagi aspek imersif permainan. Monitor ini juga menyokong gamut warna 98.5% DCI-P3 untuk imej realistik yang menakjubkan. Dilengkapi dengan DisplayPort 1.4 dan dua port HDMI 2.0, ia menyokong kedua-dua PC dan konsol dan juga diperakui TÜV Rheinland EyeSafe®.
Panel OLED Predator X45 dengan HDR10 dan kecerahan puncak 1000 nits menghasilkan kontras yang sangat baik untuk imej yang penuh perincian, manakala penarafan UGR<22 membolehkan permainan tanpa silau dalam keadaan terang. Dirian logam boleh laras dengan tapak logam yang ‘sleek’ namun kukuh memastikan monitor besar itu stabil sepanjang permainan.
Panel rata 27-inci WQHD (2560×1440) Predator X27U dengan liputan DCI-P3 98.5% sesuai untuk pemain profesional yang mencari sebuah jentera yang boleh dipercayai dan berkuasa untuk kegunaan harian. Monitor yang diperakui TÜV Rheinland EyeSafe juga memanfaatkan kecerahan puncak 1000 nits dan keupayaan HDR10 untuk menyampaikan visual yang menakjubkan seakan dunia sebenar.

Kedua-dua Predator X45 dan Predator X27U mempunyai ‘refresh rate’ 240 Hz yang sangat pantas dan masa tindak balas pixel 0.01 ms. Ia digabungkan dengan teknologi AMD FreeSync™ Premium untuk memberikan pengalaman permainan yang lancar. Kedua-duanya juga mempunyai suis KVM yang membolehkan penukaran mudah antara desktop dan laptop tanpa perlu menukar papan kekunci dan tetikus. Selain itu, hab USB dengan USB Type-C mudah disambung dengan alat dan peranti lain.
Buat masa ini, Acer tidak mengumumkan bila produk-produk di atas akan dilancarkan di Malaysia tetapi anda boleh layari dahulu laman web rasmi mereka untuk info lanjut.
Untuk membaca segala liputan kami tentang produk Acer Predator, sila tekan pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post