Saya harus mengaku diri ini agak teruja ketika Pokemon Unite diumumkan tahun lepas. Dibangunkan oleh Timi Studios dan diterbitkan oleh The Pokémon Company dan Nintendo, ia merupakan MOBA (antara genre kesukaan saya) yang membolehkan kita berinteraksi bersama Pokemon kegemaran dalam cara yang sangat berbeza berbanding permainan lain dalam francais. Sebenarnya IP Pokemon sangat bervariasi, dan banyak kali ia terbukti mampu mengubah genre yang rumit menjadi sesuatu yang lebih mudah untuk dimainkan. Saya akan ambil Pokken Tournament sebagai contoh di mana ia berjaya diadaptasikan kepada genre fighting game. Oleh itu, adakah Pokemon Unite merupakan pengalaman MOBA yang bagus? Inilah review saya untuk Pokémon Unite!
Seperti yang saya kata di atas, pertempuran kali ini menuju ke arah yang berbeza dalam Pokémon Unite. Kita tidak akan menangkap Pokémon dan tidak harus bertarung dengan Trainer. Sebaliknya, pertempuran akan berlaku antara dua pasukan yang terdiri dari lima pemain yang harus bertarung di sebuah arena. Kita akan cerita serba sedikit tentang gameplay kemudian. Sekarang saya ingin menjelaskan tentang jalan cerita permainan dahulu.
Latar belakang
“Pokémon Unite berlaku di Aeos Islands. Seperti kebanyakan permainan Pokémon lain, kawasan ini sedang disiasat oleh seorang pakar Pokémon iaitu Professor Phorus, yang telah menemui dan sedang membuat kajian tentang Aeos Energy. Ia hanya wujud di Aeos Islands dan dapat digunakan untuk menukar Pokémon yang mengalami evolusi kepada bentuk asas mereka.
Semua Pokémon yang tinggal di Aeos Islands memiliki sejumlah kecil tenaga Aeos. Tenaga ini dapat dikumpul dengan mengalahkan Pokemon lain dalam pertempuran. Bersama dengan rakannya Erbie, Professor Phorus mengasaskan Unite Battles, yang menggunakan Aeos Energy sebagai sistem pemarkahan dalam perlawanan.”
Gameplay asas
Baiklah, kita kembali ke topik gameplay. Seperti yang saya kata di atas, Pokemon Unite adalah permainan bergenre MOBA. Anda akan memilih satu Pokemon dari senarai yang disediakan. Harap maklum, kita boleh memilih Pokemon percuma atau yang sudah dibuka oleh pemain (pemain awal juga menerima Zeraora). Jika anda belum memilih, sistem akan mengesyorkan satu Pokemon berdasarkan posisi apa yang tidak lengkap dalam pasukan. Ini terdiri dari Attacker, All-Rounder, Defender, Speedster, and Supporter. Sebagai contoh, jika pasukan anda tidak mempunyai Defender, sistem akan mengesyorkan anda untuk memilih Pokemon seperti Snorlax.
Sebaik sahaja anda masuk dalam permainan, sama seperti MOBA lain, anda akan pergi ke sebuah arena dengan beberapa laluan berbeza. Apa yang membezakan Pokemon Unite dengan MOBA lain adalah permainan ini hanya mempunyai dua laluan, lantas menjadikannya lebih mudah untuk meneroka. Di sekitar arena adalah sejumlah Pokemon liar seperti Combees dan Aipom. Dengan mengalahkan Pokemon ini, pemain akan menyerap Aeos Energy (‘point’ dalam permainan). Selepas mengumpulkan lebih banyak ‘point’, kita perlu menuju ke salah satu ‘gawang gol’ musuh di mana anda dapat menyalurkan Aeos Energy ini melalui gelung untuk mendapatkan mata bagi pasukan.
Permainan ini juga mempunyai ‘buff’. Pokemon seperti Rotom dan Zapdos akan muncul dari semasa ke semasa dan jika kita mengalahkan Pokemon ini, seluruh pasukan akan memperoleh ‘buff’ (bonus sampingan) supaya ia lebih senang untuk mendapatkan ‘point’ buat tempoh masa yang terhad. Ini sangat membantu kerana ‘kill’ bukanlah misi utama. Kita hanya akan menang jika markah kita lebih tinggi dari musuh. Pada masa yang sama, janganlah kita sibuk nak bunuh orang sahaja. Jika anda mempunyai jumlah mata yang banyak tetapi tidak membuat objektif, kemungkinan besar semua Aeos Energy boleh dicuri oleh musuh jika kita dibunuh (knockout) dalam pertempuran.
Selain daripada Aeos Energy, mengalahkan musuh dan Pokemon liar juga memberi ganjaran XP. XP ini membolehkan watak kita menjadi lebih kuat, belajar abiliti baru dan berevolusi bergantung pada Pokemon anda. Sebagai contoh, Charmander boleh berubah ke Charmeleon lalu menjadi Charizard. Pokemon seperti Pikachu tidak akan berevolusi dan akan hanya naik level dan belajar abiliti baru untuk menggantikan abiliti sebelumnya. Saya akan jelaskan lebih lagi tentang setiap Pokemon dan peranan mereka dalam panduan akan datang. Buat masa ini, saya hanya akan memberi review awal untuk Pokemon Unite.
Isu mikrotransaksi
Walaupun perlawanannya pendek dan mudah difahami, Pokémon Unite mempunyai satu kekurangan yang membuatkan ramai pemain kecewa. Seperti kebanyakan permainan free-to-play, Pokémon Unite banyak bergantung pada mikrotransaksi. ‘Unite License’, pakaian Trainer, ‘Item’, dan skin Pokémon semuanya boleh dibeli menggunakan mata wang dalam permainan. Walaupun beberapa item dan License dapat diperoleh melalui acara istimewa atau dengan menyelesaikan objektif harian, ia adalah terhad dan memakan banyak masa.
Terdapat tiga jenis mata wang utama dalam Pokémon Unite iaitu: Aeos Coin, Aeos Ticket, dan Aeos Gem. Coin dan Ticket dengan mudah dapat diperoleh melalui acara dan misi harian, tetapi Aeos Gem harus dibeli oleh pemain. Oleh kerana itu, mereka yang ingin membeli ‘Unite License’ tertentu terpaksa ‘grinding’ untuk Unite License atau membeli dengan duit sebenar supaya dapat menjimatkan masa.
Itu baru satu hal. Isu mikrotransaksi lebih mengecewakan jika kita sentuh tentang aspek Item. Setiap Pokémon boleh menyimpan hingga 3 item bergantung pada level pemain. Item-item ini, seperti ‘Leftovers’, memberikan sedikit peningkatan kepada statistik tertentu semasa dalam pertempuran. Walau bagaimanapun, pada Level 9 pemain dapat menggunakan Item Enhancer untuk meningkatkan level item tersebut, lantas meningkatkan keberkesanannya.
Item Enhancer boleh dibeli di kedai Pokémon Unite dengan 10 Aeos Tickets. Jumlah Item Enhancer yang diperlukan untuk meningkatkan level item akan meningkat secara beransur-ansur dengan setiap upgrade, lalu menjadikan proses menjengkelkan bagi mereka yang berusaha untuk memperoleh tiket melalui misi harian. Walau bagaimanapun, Aeos Ticket juga dapat diperoleh dengan Aeos Gem. Ini bermaksud mereka yang sanggup mengeluarkan wang dapat melengkapi Pokémon mereka dengan 3 item yang level-nya maksimum setelah mencapai tahap yang diperlukan. Sudah tentu, ini memberikan mereka kelebihan yang tidak adil dalam pertempuran, terutamanya bagi mereka yang tidak membayar duit.
Pendapat
Walaupun Pokémon Unite menawarkan cara baru bagi peminat untuk menikmati francais Pokémon bersama-sama, ramai tidak beberapa suka kerana kes mikro transaksi. Ini menjadikan permainan kurang seronok dan mengharuskan kita untuk menyelesaikan misi setiap hari untuk dapatkan Pokemon atau item yang kita mahu. Dengan menggantikan sistem untuk mendapatkan barang yang kita mahu dan sistem leveling item yang lebih baik untuk pertempuran dari cara berbayar, saya pasti Pokémon Unite akan menjadi pengalaman yang lebih menyeronokkan bagi pemain.
Itu sahaja untuk review ini bagi Pokémon Unite yang kini tersedia di Nintendo Switch. Versi mobile iOS & Android akan keluar pada 21 September 2021. Untuk segala liputan kami tentang permainan, sila tekan pautan ini.

@gamersantaimy
The Review
Pokémon Unite
PROS
- Gameplay MOBA yang bagus
- Senarai Pokemon yang menarik
- Sesuai untuk semua golongan gamer
CONS
- Terlalu pay-to-win
- Pokemon kegemaran mungkin tidak ada untuk semua peminat
Discussion about this post