Sudah bertahun-tahun berlalu sejak Death Stranding pertama memperkenalkan pengalaman unik dengan gameplay traversal yang pelik dan penceritaan yang sukar diramalkannya, membuatkan ramai peminat setia menantikan sambungannya. Kini persoalannya: mampukah Death Stranding 2: On the Beach memenuhi harapan tinggi itu, sekaligus mentakrif semula apa yang mampu ditawarkan oleh sebuah “walking” atau “delivery simulator”?
Soalan ini terus menjadi tanda tanya, sama ada untuk pemain lama mahupun mereka yang baru ingin mencuba. Dalam reviu tanpa spoiler ini, kami menyelami keunikan sistem gameplay, kekuatan naratif yang dihidangkan, serta bagaimana pengalaman ini membentuk perjalanan pemain. Inilah ulasan penuh kami.
Kisah Baru, Tetapi Higgs Masih Buat Kacau

Selepas peristiwa dalam Death Stranding pertama, dunia kelihatan kembali tenang, namun sempadan antara kehidupan dan alam selepas mati masih kekal kabur. Sam Porter Bridges kembali menggalas tanggungjawab lebih besar, merentasi benua untuk membina semula hubungan yang kini melangkaui sempadan Amerika Syarikat.
Berlatar 11 bulan selepas kisah asal, Sam tidak lagi berjalan bersendirian. Kali ini, dia bekerjasama dengan Fragile di bawah organisasi baharu bernama Drawbridge, bersama sekutu-sekutu baharu demi membentuk rangkaian penyambungan berskala global.

Namun, kedamaian itu tidak kekal lama. Kemunculan semula Higgs mengancam misi mereka. Kehadirannya bukan sahaja menguji semangat Sam, malah menggugat keyakinannya terhadap erti sebenar “penyambungan” yang selama ini diperjuangkannya.
Dalam masa yang sama, Lou (yang kini membesar sebagai seorang bayi) menjadi nadi emosi dan tumpuan utama naratif kali ini. Sepanjang perjalanan, pemain akan perlahan-lahan membongkar misteri sebenar mengenai identiti Lou, serta menyingkap rahsia yang lebih dalam tentang The Beach dan daya tarikannya yang misteri.

Berbeza dengan game pertama, rentak penceritaan kali ini terasa lebih mantap dan berfokus. Mungkin kerana pemain sedia ada sudah biasa dengan gaya naratif unik Kojima, mereka lebih bersedia menyusun petunjuk yang diberi.
Hasilnya ialah pengalaman yang lebih tersusun, kurang kekeliruan, lebih linear, dan menawarkan ganjaran emosi yang jauh lebih memuaskan.
Visual Generasi Baharu

Saya sendiri pernah bermain Death Stranding versi asal di PS4, dan kemudian mencuba Director’s Cut di PS5… kedua-duanya sudah cukup memukau dari segi visual. Tetapi apa yang ditawarkan oleh Death Stranding 2 melangkaui segala jangkaan saya.
Butiran visualnya benar-benar luar biasa. Dari pencahayaan, tekstur, hinggalah realisme rupa bumi, setiap elemen begitu hidup sehingga kadangkala terasa seperti menonton rakaman aksi sebenar.
Babak pembukaannya sahaja sudah cukup membuatkan saya terdorong mendekatkan muka ke skrin semata-mata untuk memastikan — ya, ini memang daripada enjin game.

Adegan sinematik masih menjadi kekuatan utama Kojima Productions. Setiap satu babak terasa seperti sebuah karya seni, sampai saya rasa hendak letak controller dan hanya duduk menonton. Saya mainkan game ini di TV UHD 43 inci, dan dengan visual 4K, pengalaman yang saya dapat setanding dengan menonton filem di pawagam.
Malah, ada ahli keluarga yang bertanya sama ada saya sedang menonton filem atau bermain game.

Model watak turut menerima peningkatan besar. Tangkapannya kini jauh lebih halus. Anda boleh nampak pori-pori, tekstur kulit, helai rambut yang bergerak lembut, dan garis wajah yang terperinci. Ekspresi wajah mereka pula lebih hidup dan natural, menjadikan setiap perbualan terasa lebih ‘manusia’.

Dunia permainan kali ini juga lebih pelbagai dari segi visual, merangkumi kawasan bersalji, hutan rimba, padang pasir, tepian tasik dan macam-macam lagi. Setiap jenis rupa bumi memberikan rasa kagum yang berbeza, dan ada ketikanya saya berhenti berjalan semata-mata untuk menikmati pemandangan.

Beberapa sistem baharu seperti kitaran siang dan malam serta bencana alam menambahkan lagi kedalaman dunia. Anda boleh memilih untuk berehat di shelter berdekatan pada waktu malam, atau berani terus berjalan dalam kegelapan dengan jarak penglihatan terhad dan risiko lebih tinggi.
Gempa bumi pula boleh menyebabkan anda hilang imbangan atau mencetuskan runtuhan salji, manakala banjir kilat boleh menenggelamkan laluan yang dirancang, memaksa anda berfikir cepat untuk mencari jalan alternatif atau membina jambatan secara spontan.
Segala kesan alam sekitar (titisan hujan, percikan lumpur, salji, angin), semuanya meningkatkan realisme dengan cara yang sangat hebat.

Saya uji game ini di PS5 dan PS5 Pro, dan prestasinya memang cemerlang. Dalam Mod Quality sekalipun, frame rate kekal stabil, manakala masa loading hampir tidak terasa. Mod Performance pula menawarkan kelancaran maksimum dengan kompromi visual yang sangat sedikit.
Reka Bunyi yang Menghidupkan Perjalanan

Seperti game pertamanya, muzik dalam Death Stranding 2 sekali lagi memainkan peranan besar dalam membentuk pengalaman pemain.
Ketika menempuh perjalanan panjang yang sunyi merentas alam liar, lagu-lagu melodik akan mula berkumandang pada detik-detik tepat untuk menyuntik emosi, dan suasana yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Setiap kawasan pula hadir dengan identiti muziknya tersendiri, menjadikan setiap penghantaran terasa seperti memiliki runut bunyi peribadi. Bahkan laluan biasa yang diulang berkali-kali pun terasa lebih bermakna kerana sentuhan emosi yang dibawa oleh muzik latar ini.

Dari segi reka bentuk bunyi, ia juga tidak kurang hebatnya. Segala bunyi kecil seperti geseran tayar di atas ranting, aliran air sungai, hinggalah gema langkah kaki Sam kedengaran penuh butiran.
Apabila muzik mula dimainkan, bunyi alam sekitar akan perlahan-lahan meredup, membiarkan anda benar-benar hanyut menikmati pemandangan bersama skor yang menyentuh perasaan.

Kesan bunyi dalam babak combat pula benar-benar memberi impak, terutamanya ketika bertarung dengan bos. Muzik latar akan semakin memuncak ketika anda mendaratkan serangan terakhir, memberi rasa tension dan keterujaan yang menjadikan setiap kemenangan terasa benar-benar layak.
Kenderaan Baharu & Evolusi Sistem Penghantaran

Walaupun jumlah kenderaan dalam Death Stranding 2 sedikit berbanding game pertama, setiap satunya kini direka dengan lebih teliti untuk fungsi sebenar, menjadikan sistem penghantaran terasa lebih fokus dan praktikal.
Pertama sekali, ada Tri-cruiser: motosikal tiga roda yang tampil dengan rekaan unik. Berbeza dengan motosikal biasa, Sam duduk di bahagian depan seperti menaiki pod kecil. Ia ringan, pantas, dan sangat sesuai untuk penghantaran jarak dekat atau barangan ringan.
Menariknya, Tri-cruiser juga boleh meluncur di atas permukaan air dan tar menggunakan kipas yang diaktifkan mengikut keperluan.

Kemudian ada Pick-up Roader, iaitu versi lori yang dinaik taraf daripada game pertama.
Dengan reka bentuk modular, anda boleh memasang pelbagai aksesori seperti Sticky Cannon (untuk memungut kargo secara automatik), Machine Gun (menyasarkan musuh secara automatik), Chiral Cannon (menyebabkan kerosakan besar), atau komponen pertahanan tambahan untuk perlindungan.
Di peringkat lebih lanjut, anda juga boleh membuka akses kepada tayar khas untuk salji, memberikan kawalan lebih baik di kawasan licin: sesuai untuk penghantaran berskala besar dan berat.

Selain itu, ada satu lagi tambahan menarik… kapal DHV Magellan. Kapal ini membolehkan anda menyeberangi tasik tar dengan lebih cepat, memudahkan pergerakan antara Outpost penting. Namun begitu, fast travel tetap terhad kepada fasiliti yang telah disambungkan ke Chiral Network.

Beberapa sistem ikonik dari game pertama turut kembali, termasuk highway dan zip-line, tetapi kali ini diperkuat dengan satu ciri baharu iaitu Monorail.
Pemain boleh bekerjasama menyumbang bahan binaan untuk meluaskan laluan monorail, yang bukan sahaja boleh membawa Sam bersama kargonya, tetapi juga memuatkan kenderaan penuh. Ini menjadikan penghantaran jarak jauh jauh lebih efisien dan menyenangkan.
Walaupun asas gameplay masih berputar sekitar penghantaran, reka bentuk misi kini lebih pelbagai. Selain sekadar menghantar barangan, anda juga akan diberikan misi mencari kargo yang hilang, memburu BT, atau menyerang kem musuh.
Variasi ini berlaku secara natural sepanjang perjalanan, menjadikan rentak gameplay lebih segar dan mengelakkan rasa bosan.

Sistem Social Strand juga kembali dengan lebih baik, membolehkan pemain membina struktur, meninggalkan penanda bantuan, atau menyediakan jalan untuk kegunaan pemain lain. Walaupun anda tidak akan bertemu pemain lain secara langsung, kehadiran mereka dapat dirasakan melalui sumbangan kecil yang memudahkan perjalanan.
Solidariti senyap inilah yang terus menjadi salah satu elemen reka bentuk paling menyentuh dalam siri ini.

(Nota: Ulasan ini dilakukan sebelum pelancaran rasmi, jadi kebanyakan fungsi online masih belum tersedia. Pengalaman keseluruhan berkemungkinan akan menjadi lebih baik apabila mod multiplayer diaktifkan sepenuhnya.)
Ancaman Baharu & Evolusi Sistem Combat

Selain berdepan BT dan musuh manusia seperti dalam game pertama, Death Stranding 2 memperkenalkan ancaman baharu yang jauh lebih menggerunkan: Ghost Mech yang diketuai oleh Higgs.
Musuh ini merupakan makhluk mekanikal raksasa dengan pelbagai bentuk dan senjata, menjadikannya antara cabaran paling sukar yang akan anda temui dalam game ini. Tambahan pula, varian BT baharu seperti BT berwarna merah yang lebih agresif turut menambahkan tekanan dan bahaya sepanjang perjalanan.

Seperti sebelumnya, pemain diberi kebebasan untuk memilih antara pendekatan stealth atau terus bertempur. Anda boleh menyelinap menggunakan senjata bukan maut seperti tali untuk melumpuhkan musuh secara senyap, atau memilih untuk berdepan secara terbuka terutamanya jika objektif misi menuntut kekerasan.

Sistem senjata kali ini juga menerima peningkatan besar. Kategori senjata kini lebih tersusun: daripada pistol, shotgun, sniper, assault rifle, pelancar grenade, pelancar roket hinggalah senjata baling.
Setiap senjata kini disertakan maklumat jelas tentang jenis musuh yang paling sesuai untuknya, menggantikan sistem pertukaran peluru yang agak rumit dalam game pertama. Hasilnya, pengurusan inventori jadi lebih mudah, persediaan sebelum misi lebih pantas, dan pemain tidak lagi terbeban membawa peluru berlebihan.

Pertarungan bos masih mengekalkan skala epiknya, lengkap dengan BT gergasi serta raksasa mekanikal yang direka penuh gaya. Gabungan sinematik dramatik, muzik intense, dan impak visual menjadikan setiap pertempuran terasa mendebarkan.
Secara keseluruhan, tahap kesukaran pertarungan kali ini terasa lebih seimbang berbanding game pertama. Pada tetapan Normal, ia cukup mencabar tetapi masih boleh diakses. Bagi pemain baharu atau mereka yang lebih suka menumpukan perhatian pada cerita, Mod Story dan Casual disediakan untuk pengalaman yang lebih santai.

Menariknya, aspek combat kini mengambil bahagian lebih besar dalam pengalaman keseluruhan. Jika sebelum ini nisbahnya kira-kira 80% penghantaran dan 20% combat, kali ini ia lebih mendekati 60/40, bergantung kepada gaya bermain masing-masing.
Perubahan ini menjadikan rentak lebih bervariasi, serta membantu mengurangkan rasa repetitif dalam penghantaran jarak jauh.
UI Lebih Kemas & Peningkatan Sistem Navigasi
UI misi dan peta dalam Death Stranding 2 kini diperkemaskan dengan lebih baik. Setiap kali menerima misi, pemain akan dibimbing melalui proses perancangan laluan dan penyediaan peralatan (sama ada fabrication, locker, atau garage) sebelum memulakan perjalanan, menjadikan keseluruhan proses terasa lebih lancar dan intuitif.

Paparan HUD masih mengekalkan gaya asal, dengan shortcut D-pad di bahagian kiri bawah skrin dan penunjuk nyawa serta stamina hanya muncul apabila diperlukan, seperti semasa pertempuran.
Namun, satu peningkatan besar dapat dilihat pada susun atur D-pad kali ini: selain senjata, peralatan dan item utiliti, kini turut ditambah Cargo Management dan Emotes, dengan senjata dan alat digabungkan dalam satu tab.
Pada awalnya, sistem ini mungkin terasa agak padat: senjata baling, alat bantu, item penyembuhan, dan struktur semuanya berkongsi roda pilihan yang sama. Tetapi selepas beberapa waktu bermain, apabila memori otot mula terbina, navigasi menu akan terasa semakin lancar dan semula jadi.

Salah satu penambahan paling berguna ialah shortcut Cargo Management. Dengan satu butang, pemain boleh menyusun semula barang secara automatik atau meletakkan kargo di atas tanah sebelum memulakan pertempuran, mengurangkan risiko barang rosak atau hilang.
Selepas pertempuran selesai, anda boleh kembali semula ke lokasi tersebut dan mengutip semuanya dengan mudah.

Pertukaran senjata memerlukan sedikit penyesuaian kerana alat jarak dekat dan jarak jauh berkongsi slot shortcut yang sama, yang mungkin sedikit mengelirukan bagi pemain baharu. Namun, fungsi menetapkan “senjata lalai” sangat membantu kerana senjata kegemaran anda akan sentiasa dipilih terlebih dahulu secara automatik.

Bagi pemain lama, terma dan mekanik gameplay akan terasa cukup dikenali. Tetapi untuk pemain baru, Death Stranding 2 menyediakan tutorial pop-up yang jelas dan terperinci, lengkap dengan arkib log data mudah diakses.
Di sini, anda boleh merujuk semula tip panduan, ringkasan cerita, profil watak, dan penjelasan item. Dengan sedikit masa pelaburan, pemain baharu pasti akan cepat selesa dengan segala sistem yang disediakan.
Pendapat
Adakah Death Stranding 2 mesra untuk pendatang baru? Jawapannya, ya. Banyak perubahan yang dibuat dalam game ini terasa seperti respons terus kepada kritikan terhadap game pertama. Keluk pembelajarannya kini lebih lembut, aliran gameplay lebih bertenaga, dan keseluruhan pengalaman terasa lebih teratur.
Kalau anda pernah teragak-agak untuk mencuba sebelum ini, inilah versi terbaik untuk mula bermain.

Namun, untuk benar-benar memahami naratifnya, kami tetap mengesyorkan anda bermain game pertama atau sekurang-kurangnya menonton recap.
Walaupun Death Stranding 2 menyediakan ringkasan ceritanya sendiri, pengalaman menyeluruh dari game asal akan menjadikan ganjaran emosinya jauh lebih mendalam terutamanya apabila berdepan detik mengejutkan melibatkan watak-watak tertentu.
Bagaimana pula dengan konsep terasnya? Tetap kukuh. Tema penyambungan masih menjadi sifat utama penceritaan, tetapi kali ini ia diterjemahkan melalui hubungan Sam yang semakin rapat dengan Lou. Dalam game pertama, hubungan mereka menjadi punca misi menyatukan UCA.
Dalam sekuel ini, sekali lagi Lou menjadi pendorong utama yang membuatkan Sam sanggup mengharungi benua demi menyambung kembali dunia yang berpecah-belah.

Death Stranding 2 boleh dikatakan sebagai salah satu sekuel yang jarang wujud: ia menghormati visi asal, namun dalam masa yang sama berani menyusun semula dan menambah baik hampir setiap aspek di sekelilingnya.
Dari sistem gameplay, persembahan visual, rentak naratif hinggalah temanya, ia benar-benar terasa seperti evolusi penuh hasil pemikiran Kojima.
Bagi pemain lama, pasti ada lebih banyak perkara untuk dihargai. Untuk pendatang baru, sambutannya kini lebih mesra berbanding dahulu. Dan untuk semua yang mencubanya, game ini akan meninggalkan sesuatu untuk difikirkan selepas kredit terakhir bergulir.

Game ini akan dikeluarkan pada 26 Jun 2025, secara eksklusif di PlayStation 5. Untuk maklumat lanjut, layari SINI.
@gamersantaimy
The Review
Death Stranding 2: On the Beach
Adakah Death Stranding 2 mesra untuk pendatang baru? Ya, dengan keluk pembelajaran yang lebih lembut, aliran gameplay bertenaga, dan pengalaman lebih teratur, ia sesuai untuk pemula. Namun, untuk memahami naratif sepenuhnya, main game pertama atau tonton recap bagi menghayati emosi cerita, terutama detik mengejutkan watak tertentu. Konsep teras tetap kukuh, menekankan tema penyambungan melalui hubungan Sam dan Lou, yang mendorong misi menyatukan dunia terpecah. Sekuel ini menghormati visi asal sambil memperbaiki gameplay, visual, naratif, dan tema, menjadikannya evolusi penuh karya Kojima. Pemain lama akan menghargai peningkatan, pendatang baru disambut mesra, dan semua akan terkesan selepas tamat bermain.
PROS
- Visual menakjubkan; kualiti sinematik dari awal hingga akhir
- Runut bunyi yang emosional dan beratmosfera meningkatkan keasyikan
- Gameplay penghantaran lebih lancar, lebih variasi, dan kurang membosankan
- Combat lebih lancar dengan maklum balas yang lebih baik dan fleksibel
- UI dan kawalan yang ditambah baik
- Tema teras tentang "hubungan" lebih mendalam dan peribadi
CONS
- Konteks cerita mungkin sukar difahami tanpa bermain game pertama
Discussion about this post