Kami berpeluang mencuba Shadow Labyrinth sekali lagi selama kira-kira 30 minit di PS5, dan ternyata game baharu bercorak fiksyen sains untuk francais ikonik Pac-Man ini benar-benar meninggalkan impak.
Dibangunkan sempena sambutan ulang tahun ke-45 Pac-Man, pendekatan yang lebih gelap ini memberikan nafas baharu yang cukup berbeza daripada imej ceria Pac-Man yang sudah sinonim sejak dahulu. Ini adalah pandangan kedua kami tentang apa yang membuatkan Shadow Labyrinth begitu menonjol.
Combat Brutal Yang Tidak Sesuai Untuk Pemain Kasual
Sistem combat Shadow Labyrinth terasa cukup lancar di mana arah serangan anda ditentukan sepenuhnya melalui analog stick kiri. Kebebasan untuk menyerang ke mana-mana arah ini memang menyeronokkan, terutamanya apabila anda diserang dari pelbagai sudut.
Namun, sistem ini juga tidak memaafkan kesilapan; setiap serangan perlu dilakukan dengan penuh fokus dan ketepatan.

Walaupun begitu, game ini tidak memberikan laluan mudah kepada pemain. Tahap kesukaran meningkat dengan pantas, sebahagiannya kerana kawalan yang sangat responsif.
Pergerakan watak terasa sedikit “floaty”, ditambah pula dengan pecutan aneh ketika melompat, yang boleh mengganggu timing anda: lebih-lebih lagi dalam segmen platforming yang memerlukan ketepatan tinggi.
Jenis cabaran seperti ini memang memberikan rasa puas apabila berjaya, tetapi dalam masa yang sama boleh membuatkan pemain hilang sabar apabila percubaan berulang kali diperlukan untuk bahagian platforming yang rumit.

Sistem Respawn pun boleh menjadi sedikit menjengkelkan, kerana kadang-kadang checkpoint diletakkan agak jauh dari lokasi kematian. Jika anda mati, terutamanya dalam bahagian platform yang mencabar atau ketika bertarung dengan bos, bersedialah untuk mengulangi perjalanan jauh yang boleh menguji tahap kesabaran anda.

Di sebalik cabaran itu, Shadow Labyrinth menawarkan sistem customization yang agak menarik. Anda boleh membina gaya permainan sendiri dengan pelbagai pilihan Perk dan abiliti. Tidak semua boleh digunakan sekaligus kerana setiap satu memerlukan “point” tersendiri, jadi pemain perlu bijak memilih kombinasi yang sesuai.
Ini membuka peluang untuk bereksperimen: sama ada memilih gaya pertempuran agresif, atau menambah elemen kualiti hidup seperti melihat nyawa musuh.

Boss Fight pula menjadi kemuncak kepada keseluruhan pengalaman. Berbeza dengan musuh biasa, bos datang dengan mekanik yang jauh lebih kompleks. Mereka mampu menangkis serangan dengan perisai seperti topeng, malah boleh melakukan counter secara tiba-tiba, menyebabkan taktik “button mashing” pasti membawa maut.
Ini memaksa pemain untuk benar-benar memahami corak serangan bos dan menyerang pada masa yang tepat. Memang mencabar, tapi sangat memuaskan apabila anda berjaya menewaskan mereka selepas berhempas pulas.

Menariknya, Shadow Labyrinth bukan sekadar tentang berlawan dan platforming. Ia juga hadir dengan naratif tersendiri serta NPC untuk berinteraksi. Elemen ini menambah lapisan kepada pengalaman bermain, kerana anda bukan sekadar bergerak tanpa arah, tetapi turut mengikuti perjalanan cerita yang memandu pengembaraan anda.
Pendapat
Secara keseluruhan, Shadow Labyrinth ialah sebuah platformer yang nampak mudah untuk dimainkan, tetapi sebenarnya memerlukan kemahiran kawalan dan tahap kesabaran yang tinggi.
Ia mungkin bukan untuk semua orang, terutamanya jika anda kurang gemar platforming yang mencabar atau sistem checkpoint yang agak keras — tetapi bagi mereka yang gemar menguji skil dengan cabaran sebenar yang dibalut dengan gaya visual menarik dan naratif, game ini memang berbaloi untuk dicuba.

Shadow Labyrinth bakal dilancarkan di Nintendo Switch, PlayStation 5, Xbox Series X|S, dan PC melalui Steam bermula 17 Julai 2025. Untuk maklumat lanjut, anda boleh kunjungi laman web rasmi.
@gamersantaimy
Discussion about this post