Firaxis Games sekali lagi mengubah genre strategi 4X dengan Sid Meier’s Civilization VII, yang memperkenalkan mekanik baharu seperti Sistem Three-Age, sistem pertempuran Commander, serta kemajuan tamadun yang lebih fleksibel, membolehkan pemain menggabungkan pemimpin dan peradaban secara bebas.
Kami berpeluang mencuba game ini, dan Civilization VII tampak sebagai edisi paling mesra untuk pemain baharu, sambil kekal segar dan mencabar bagi peminat lama. Dengan perubahan besar ini, ia bukan sahaja memberi nafas baharu kepada siri kegemaran ramai, tetapi juga memberikan gambaran menarik tentang hala tuju francais ini pada masa depan.
Gameplay
Pengenalan kepada Sistem Three-Age

Civilization VII memperkenalkan Sistem Three-Age, yang membahagikan perjalanan permainan ke tiga era berbeza, di mana setiap satu mempunyai sumber, sivik, dan teknologi eksklusif tersendiri:
- Antiquity Age (Early Game)
- Exploration Age (Mid-Game)
- Modern Age (Late Game)
Struktur ini menggantikan sistem perkembangan era dalam game dahulu, di mana pemain bermula dari Ancient Era dan berkembang hingga Information Era. Berbeza dengan format lama yang mencerminkan tahap teknologi dan sosial tamadun secara berterusan, sistem baharu ini memberikan setiap identiti yang lebih jelas kepada zaman, dengan cabaran, teknologi, dan strategi tersendiri.

Setiap peralihan zaman disertai mekanik unik yang memaksa pemain menyesuaikan strategi mereka. Ia bukan sekadar membuka teknologi baharu—tetapi mengubah cara permainan berlangsung.
Sebagai contoh, Zaman Antiquity menekankan pengembangan wilayah, pembinaan asas tamadun, dan pertempuran awal, manakala Zaman Exploration memperkenalkan kemajuan teknologi, perubahan budaya, serta interaksi diplomatik.

Zaman Modern pula menandakan kemuncak perkembangan empayar, dengan unit tentera yang lebih kuat, keputusan berskala global, dan lonjakan teknologi yang luar biasa.
Pendekatan ini menjadikan perjalanan lebih tersusun dan menarik, mengurangkan masalah kemerosotan aktiviti di mid-game yang sering dialami dalam judul lama. Dengan cara ini, gameplay kekal segar dari awal hingga akhir, memaksa pemain untuk menyesuaikan strategi daripada hanya mengikut rutin tetap.
Kemajuan Tamadun
Dalam Civilization VII, tamadun yang anda pilih pada permulaan tidak menentukan keseluruhan perjalanan. Sebaliknya, apabila beralih dari satu era ke era seterusnya, anda boleh menukar tamadun sambil mengekalkan elemen utama daripada pilihan sebelumnya.
Namun, tamadun baharu ini akan hadir dengan set bonus, unit, dan bangunan yang berbeza.

Sebagai contoh, anda mungkin bermula sebagai Tamadun Maya pada Zaman Antiquity, memberi tumpuan kepada perkembangan sains. Apabila memasuki Zaman Exploration, anda boleh beralih kepada Hawai’i, yang menawarkan bonus budaya unik.
Akhirnya, dalam Zaman Modern, anda boleh memilih Meiji Jepun, kembali kepada fokus awal terhadap sains dan memanfaatkan kelebihan penghasilan sains untuk mempercepatkan pembinaan bangunan.
Sistem ini menambahkan nilai ulangan dan kepelbagaian, memastikan setiap kempen terasa segar dengan kombinasi unik yang menghasilkan kelebihan tersendiri.
Daripada terkunci kepada satu gaya sepanjang masa, pemain boleh menyesuaikan strategi di pertengahan permainan, mengubah pendekatan dan membuat keputusan berdasarkan keadaan semasa.

Selain itu, sistem ini mewujudkan keseimbangan kuasa yang lebih dinamik, di mana sesetengah tamadun mungkin kuat pada peringkat awal tetapi merosot kemudian, manakala tamadun lain bermula dengan lemah tetapi berkembang pesat pada era berikutnya.
Game ini juga memberikan cadangan mengenai padanan pemimpin dan tamadun berdasarkan kelebihan dan sifat masing-masing, membantu pemain membuat pilihan.
Walaupun ramai pemain mungkin mendapati mekanik “mix-and-match” ini menarik, perubahan ini juga boleh menjadi kontroversi dalam kalangan peminat lama. Salah satu daya tarikan klasik siri Civ adalah kesetiaan kepada tamadun yang diketuai oleh seorang pemimpin dari awal hingga akhir permainan.

Sebagai contoh, ada yang lebih suka bermain sebagai Augustus dan mengekalkan Empayar Rom sepanjang permainan, bukannya menukar kepada Empayar Sepanyol atau Mexico di penghujungnya.
Namun, keupayaan untuk membentuk sebuah empayar dengan menggabungkan pelbagai tamadun selaras dengan pendekatan sejarah—realitinya, negara-negara di dunia sebenar telah mengalami perubahan besar sepanjang zaman, dan inilah mungkin visi yang cuba dibawakan oleh Firaxis Games.
Bagi kami, walaupun mekanik ini menambah nilai ulangan, terutama bagi mereka yang ingin bermain pemimpin yang sama berulang kali, kami masih mengharapkan pilihan untuk mengekalkan tamadun asal pemimpin bagi memberikan pengalaman yang lebih autentik dari segi sejarah.
Commander dan Pembaruan Sistem Pertempuran

Sistem pertempuran dalam Civilization VII telah dirombak, mengurangkan pengurusan unit berlebihan sambil menambah lebih keputusan ketenteraan. Perubahan terbesar ialah pengenalan Commander.
Commander ialah unit kuat yang mempunyai skill tree sendiri, berfungsi sebagai pusat kepada pasukan tentera dengan menawarkan keupayaan unik dan pilihan taktikal yang memberi impak besar dalam peperangan.
Setiap tamadun mempunyai akses kepada Commander berbeza yang memberikan pelbagai kelebihan pertempuran, seperti peningkatan pergerakan, kuasa serangan lebih tinggi, keupayaan menggabungkan unit di bawah satu Commander, serta membuka manuver taktikal khas melalui skill tree mereka.

Commander bertindak sebagai satu unit utama yang boleh “mengumpul” unit lain di sekelilingnya ke dalam satu stack. Mereka juga mendapat manfaat tambahan seperti bonus pergerakan untuk berpindah dengan lebih pantas, dan apabila tiba di lokasi yang dituju, unit boleh “dibuka” dan diagihkan ke petak berdekatan untuk menyerang atau bertahan.
Pemain kini boleh menggerakkan seluruh tentera dengan lebih cekap tanpa perlu menyusun semula unit satu per satu, menjadikan pergerakan tentera lebih pantas dan lancar. Ini menghilangkan kesulitan menggerakkan setiap unit secara manual, kerana hanya satu unit (Commander) perlu dikawal apabila beralih kepada strategi bertahan atau menyerang.
Selain itu, Commander membuka peluang untuk strategi pertempuran yang lebih luas, seperti serangan mengepung atau pembentukan pertahanan yang lebih kukuh.

Bergantung pada skill tree yang dipilih, Commander boleh memberikan pelbagai manfaat kepada unit di sekelilingnya—contohnya, membolehkan unit bergerak terus selepas “dibuka”, meningkatkan kekuatan pertempuran semasa bertahan, menjana emas berdasarkan jumlah unit dalam stack, atau meningkatkan pergerakan dan mengabaikan sekatan pergerakan akibat rupa bumi.
Sistem ini mewujudkan keseimbangan antara kawalan gameplay dan penambahan elemen taktikal, menjadikan pertempuran lebih menarik tanpa terlalu rumit.
Rombakan Sistem Diplomasi

Diplomasi dalam Civilization VII telah dirombak sepenuhnya dengan pengenalan “Influence” sebagai mata wang utama. Tidak lagi sekadar memberikan emas kepada pemimpin untuk mendapatkan apa yang anda mahu, kini Influence terkumpul setiap giliran, sama seperti emas, dan boleh digunakan untuk memperkukuh hubungan, merunding perjanjian, atau menjalankan operasi perisikan.
Sebagai contoh, pemain boleh membelanjakan Influence untuk membuka sempadan, meningkatkan hubungan dagangan, menjalin pakatan, atau bahkan mencuri teknologi daripada pesaing.
Sistem ini menambah lapisan baharu dalam diplomasi, memaksa pemain mengurus pengaruh mereka dengan lebih teliti bagi mencapai matlamat.

Pemimpin lawan mempunyai tiga cara untuk bertindak balas terhadap cadangan anda: Support, di mana kedua-dua pihak bersetuju dan mendapat manfaat bersama; Accept, di mana anda bersetuju dengan syarat mereka tetapi kelebihannya lebih berpihak kepada mereka; atau Reject, di mana anda boleh menolak cadangan mereka.
Pilihan Support dan Reject memerlukan penggunaan Influence, manakala Accept tidak memerlukan sebarang Influence. Sistem ini menjadikan diplomasi lebih interaktif, memberi ganjaran kepada pemain yang bijak mengatur strategi, dan jauh lebih menarik berbanding sekadar “membayar” pemimpin dengan emas.

Namun, dalam pengalaman kami, terdapat situasi di mana kami memiliki lebihan emas yang tidak digunakan, menimbulkan persoalan mengenai keseimbangan sumber dalam game. Walaupun begitu, perubahan ini menjadikan diplomasi lebih realistik, menghalang pemain daripada sekadar “membeli” sekutu dengan mudah.
Bencana Alam

Bencana alam kembali dalam Civilization VII, mengambil inspirasi daripada Civ VI: Gathering Storm, tetapi dengan peranan yang jauh lebih besar dan berimpak. Sepanjang permainan kami, kami mengalami banjir, letusan gunung berapi, malah tsunami yang memberi kesan langsung kepada bandar-bandar.
Selain menjadi elemen strategik yang penting dalam pembinaan dan perkembangan tamadun, bencana ini juga dipersembahkan dengan visual yang lebih mengagumkan.
Berbanding versi sebelumnya, bencana alam dalam Civilization VII berlaku dengan lebih kerap, memberikan impak yang lebih besar, dan bersifat tidak dapat diramalkan, memaksa pemain untuk menyesuaikan strategi mereka secara masa nyata.

Dari segi strategi, pemain perlu membuat keputusan sama ada untuk membina semula, berpindah ke lokasi lain, atau menyesuaikan diri dengan keadaan selepas bencana berlaku. Terdapat juga elemen risiko dan ganjaran yang perlu dipertimbangkan.
Sebagai contoh, kawasan di tebing sungai menawarkan sumber yang kaya tetapi lebih terdedah kepada bencana seperti banjir.

Bagi kami, kehadiran bencana alam menjadikan dunia permainan terasa lebih hidup dan memaksa pemain untuk merancang strategi jangka panjang demi kelangsungan tamadun mereka. Ancaman bencana yang sentiasa wujud menambah ketegangan dan mendalamkan proses membuat keputusan sepanjang kempen.
Ini adalah penambahan yang sangat baik, memberikan unsur ketidaktentuan yang menjadikan setiap permainan lebih unik dan mencabar.
Pembangunan & Pengembangan Bandar

Mekanisme pembinaan bandar telah dikemas kini untuk memberikan lebih banyak pilihan. Pemain kini perlu mempertimbangkan faktor seperti bentuk muka bumi, ketersediaan sumber, dan kedudukan tamadun jiran ketika merancang pengembangan mereka. Selain itu, sistem” District” kini dibahagikan kepada “Rural District” dan “Urban District”.
Sistem District berfungsi dengan membahagikan bandar kepada kawasan tertentu di atas petak-petak dalam wilayahnya. District akan terbentuk secara automatik bergantung pada bagaimana pemain menggunakan petak tersebut.

Rural District terbentuk apabila penduduk, pekerja, atau pakar ditugaskan ke sesuatu petak untuk mendapatkan hasil dan bonus daripada kawasan tersebut.
Sebagai contoh, meletakkan seorang pekerja di tanah kosong akan mencipta sebuah Rural District. District ini juga muncul apabila pemain meningkatkan sesuatu petak dengan binaan seperti Camp, Farm, Plantation, Pasture, atau lain-lain.
Urban District, pula, terbentuk apabila sebuah bangunan dibina dan diletakkan dalam petak milik sesebuah bandar atau pekan. Apabila populasi ditambahkan ke Urban District, ia akan mencipta pakar yang memberikan kelebihan tertentu.
Setiap Urban District boleh menampung maksimum dua bangunan, dan tidak seperti sistem di Civilization VI, bangunan dalam Urban District tidak perlu mempunyai tema yang sama.
Menariknya, pemain boleh membina Urban District di atas binaan luar bandar sedia ada, yang akan memberikan pulangan sumber bagi membangunkan petak lain dalam penempatan tersebut. Namun, perubahan ini hanya sehala—Rural District boleh ditukar menjadi Urban District, tetapi sebaliknya tidak boleh dilakukan.

Selain itu, “Adjacency Bonus” kini diberikan kepada bangunan, bukan District seperti sebelumnya. Bonus ini bergantung pada ciri semula jadi dan binaan yang mengelilingi sesuatu bangunan. Walaupun kesannya kecil pada awalnya, ia boleh menjadi lebih kuat apabila lebih banyak bangunan dibina dalam kawasan.
Sebagai contoh, membina fasiliti ketenteraan di atas kawasan berbukit boleh memberikan kelebihan pertahanan, manakala mendirikan pusat perdagangan berhampiran sungai dapat meningkatkan hasil ekonomi.
Rekaan Visual & Seni

Dari segi grafik, Civilization VII membawa peningkatan besar berbanding pendahulunya. Gaya seni yang diterapkan lebih terperinci dan berwarna-warni, mengimbangi unsur realisme dengan baik.
Secara visual, ia bukan sahaja menarik tetapi juga berfungsi dengan lebih jelas, membolehkan pemain mengenal pasti unit, bangunan, dan bentuk muka bumi dengan mudah—satu peningkatan ketara.
Peningkatan dari segi pencahayaan serta perincian rupa bumi turut menambah baik pengalaman visual, memastikan game kelihatan mengagumkan walaupun pemain mengezum. Ini menjadikan peperangan, pembinaan bandar, dan penerokaan dunia lebih menyeronokkan.

Satu lagi penambahbaikan ketara ialah animasi unit dan bandar kini lebih dinamik. Pemimpin dalam skrin diplomasi menampilkan ekspresi wajah yang lebih hidup, memberikan lebih banyak personaliti kepada setiap watak.
Pergerakan unit di peta terasa lebih lancar, dan perkembangan bandar ditunjukkan secara visual melalui pertumbuhan infrastruktur serta aktiviti yang semakin sibuk. Semua elemen ini menyumbang kepada dunia yang terasa hidup dan berkembang mengikut tindakan pemain.

UI turut direka semula untuk memberikan kejelasan yang lebih baik dan kemudahan penggunaan. Menu disusun dengan intuitif, membolehkan pemain mengakses maklumat penting tanpa menyebabkan skrin menjadi terlalu sesak.
“Tooltips” yang lebih terperinci juga disertakan bagi menjelaskan mekanik permainan, membantu pemain baharu dan berpengalaman dalam membuat keputusan dengan lebih bijak.
Bunyi & Muzik

Salah satu ciri paling menonjol dalam Civilization VII ialah runut bunyinya yang disusun dengan indah serta kaya dengan unsur budaya. Firaxis mengekalkan tradisi mereka dalam menggabungkan muzik mengikut perjalanan pemain melalui sejarah.
Komposisi muzik berubah bergantung pada zaman dan tamadun yang dimainkan. Setiap Zaman—Antiquity, Exploration, dan Modern—mempunyai identiti muzik tersendiri, dengan tema yang semakin kompleks seiring dengan kemajuan pemain.
Muzik pada awal permainan menampilkan alat muzik tradisional yang lebih sederhana, manakala dalam Zaman Modern, susunan orkestra yang lebih kompleks diperkenalkan untuk mencerminkan kemajuan teknologi dan sosial.

Selain muzik latar, kesan bunyi persekitaran turut memainkan peranan besar. Bunyi latar disesuaikan dengan suasana permainan, daripada hiruk-pikuk kehidupan bandar hingga deruan pedang bertembung dalam pertempuran, semuanya menambah pengalaman yang lebih realistik.
Menariknya, dalam fasa late game, kami mendapati diri lebih bergantung kepada isyarat audio untuk memahami situasi yang berlaku, berbanding pada early game di mana maklumat lebih mudah diperoleh melalui tooltips dan visual di skrin.
Pendapat

Civilization VII merupakan salah satu entri paling inovatif dan bercita-cita tinggi dalam francais ini. Dengan sistem Three-Age, perkembangan tamadun yang lebih fleksibel, serta perombakan dalam pertempuran dan diplomasi, ia memberikan nafas baharu kepada genre strategi 4X.
Bagi pemain baharu yang ingin mencuba siri Civilization buat pertama kali, Civ VII lebih mesra untuk pendatang baru berbanding permainan sebelumnya. Namun, bagi peminat lama, perubahan seperti sistem Three-Age dan mekanik gabungan tamadun mungkin menghadirkan perasaan bercampur-baur kerana beberapa elemen strategik klasik telah dipermudahkan.

Walaupun ada perubahan kontroversi, kami merasakan Civilization VII tetap berbaloi untuk diberi perhatian. Tidak kira sama ada anda seorang pemain baru atau veteran, permainan ini tetap membawa langkah yang menarik ke hadapan dalam siri Civilization.
Sid Meier’s Civilization VII akan dilancarkan pada 11 Februari 2025 untuk PlayStation 5, Xbox Series X|S, PlayStation 4, Xbox One, Switch, PC, melalui Steam, Epic Games Store. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi.
@gamersantaimy
The Review
Sid Meier’s Civilization VII
Civilization VII merupakan salah satu entri paling inovatif dan bercita-cita tinggi dalam francais ini. Dengan sistem Three-Age, perkembangan tamadun yang lebih fleksibel, serta perombakan dalam pertempuran dan diplomasi, ia memberikan nafas baharu kepada genre strategi 4X. Bagi pemain baharu yang ingin mencuba siri Civilization buat pertama kali, Civ VII lebih mesra untuk pendatang baru berbanding permainan sebelumnya. Namun, bagi peminat lama, perubahan seperti sistem Three-Age dan mekanik gabungan tamadun mungkin menghadirkan perasaan bercampur-baur kerana beberapa elemen strategik klasik telah dipermudahkan.
PROS
- Sistem Three-Ages memberikan perkembangan yang tersusun tetapi dinamik, menjadikan gameplay lebih menarik
- Gabungan Pemimpin-Tamadun yang fleksibel membolehkan kombinasi strategi yang unik dan meningkatkan nilai ulang main
- Pengenalan Commander menambah strategi sambil mengurangkan pengurusan unit yang berlebihan
- Sistem Influence menawarkan interaksi diplomatik yang lebih kompleks dan interaktif
- Penambahbaikan visual menjadikan pengalaman lebih mengasyikkan
- Runut bunyi yang disusun dengan indah dan mencerminkan variasi budaya
CONS
- Kombinasi tertentu antara pemimpin dan tamadun mungkin memberikan kelebihan yang tidak seimbang
- Sebahagian peminat lama mungkin kurang gemar mekanik Sistem Pertukaran Tamadun kerana lebih suka mengekalkan tamadun yang sama sepanjang permainan, seperti dalam game dahulu
Discussion about this post