Ghostwire: Tokyo adalah salah satu game seram/thriller yang paling dinanti-nantikan pada tahun 2022 dan korang tidak perlu tunggu lama untuk mencuba kerana ia akan keluar seawal 22 Mac. Dibangunkan oleh Tango Gameworks, game ini bercita-cita tinggi dengan menampilkan bandar Tokyo dalam sistem open-world di mana ia dilanda oleh Yōkai. Saya diberi peluang untuk mencuba game ini di PS5 beberapa hari lebih awal oleh Bethesda, jadi tanpa melengahkan masa lagi – inilah review saya untuk GhostWire: Tokyo!
Jalan cerita lebih ke thriller

Kisah Ghostwire: Tokyo bermula di Scramble Crossing Shibuya. Dikenali sebagai salah satu simpang trafik paling sibuk di dunia, tiba-tiba semua orang lenyap dalam sekelip mata— kecuali protagonis kita, Akito, yang mendapati dirinya terperangkap apabila sejenis kabus berbahaya muncul lalu mengasingkan Shibuya dari dunia luar.
Akito sebenarnya sudah mati tetapi nyawanya terselamat apabila roh KK (seorang pemburu hantu) masuk dalam tubuh Akito lantas memberikannya kuasa. Sebagai Akito, tugas kita adalah untuk meneroka Tokyo dan membongkarkan misteri di sebalik kehilangan penduduk bandar, keluarga kesayangan dan identiti Hannya, lelaki bertopeng yang merupakan dalang di sebalik kejadian ini.

Banyak yang saya nak ceritakan, tetapi selebihnya semua adalah spoiler. Dari segi genre, saya lebih menyifatkan game ini sebagai thriller dari seram. Bagi mereka yang suka game seram, korang mungkin akan sedikit kecewa kerana game ini tidak mempunyai satu jumpscare yang menyeramkan. Memang aksi, aksi, dan aksi sahaja dari awal sampai habis. Nasib baiklah jalan cerita tidak tipikal dan ada banyak plot twist.

Kalau nak mengadu tentang bahagian cerita, saya hanya ada satu masalah. Game ini ada dua pilihan dubbing; satu bahasa Jepun, satu bahasa Inggeris. Dalam review ini, saya memakai dubbing Jepun, dan persembahan dari pelakon suara Jepun memang tip-top. Apabila tukar ke Inggeris pula – senang cerita, pelakon suaranya tidak cukup memberi impak. Kualiti dan semangat yang mereka beri memang jauh berbeza dengan versi Jepun. Jadi, saya mengesyorkan korang untuk pakai dubbing Jepun dari awal sampai habis.
Sistem ‘Combat’ unsur mistik; Angin, Air, Api

Dimainkan sepenuhnya secara ‘first-person’, kami akan bertemu dengan Yokai yang dipanggil “Visitors” semasa meneroka Tokyo. Agak berbeza daripada game open world lain, kita tidak akan menggunakan senapang atau pedang, dan sebaliknya harus bergantung pada Ethereal Weaving, sejenis “gerakan isyarat tangan” yang membolehkan Akito memanipulasi ‘ether’ (anggap macam ki atau chakra) untuk memerangi musuh.
Fire Water Wind
Terdapat tiga elemen untuk pakai dan setiap satu direka khusus untuk jenis musuh berbeza di mana kita perlu menggunakan setiap satu secara strategik mengiku situasi. Fungsi setiap elemen adalah seperti berikut:
- Angin: membolehkan kita menembak ‘ether’ secara berdas-das dan pantas ke arah musuh seperti pistol. Dengan mengecaskan serangan (tekan butang R2), kita akan menembak semua ether sekaligus.
- Air: ala-ala seperti shotgun, dan membolehkan kita melakukan damage besar pada jarak dekat serta ‘knockback’ musuh ke belakang. Dengan mengecaskan kuasa, serangan kita mempunyai jarak lebih luas, yang sangat berguna apabila musuh datang menyerang kita beramai-ramai.
- Api: seperti rocket launcher. Serangan ini boleh melakukan damage AOE yang besar pada musuh. Paling sesuai digunakan pada musuh yang berkumpul bersama atau bos besar.

Selain daripada 3 elemen ini, Akito juga boleh menggunakan ‘Earth Ether’ untuk ‘block’ serangan musuh. Walaupun sedang block’ ia tidak sepenuhnya menghalang damage dari musuh tetapi dengan melakukan “Perfect Block”, kita bukan sahaja akan menolak musuh ke belakang, malah akan memperoleh sedikit ether dan HP.
Dengan menyerang musuh berkali-kali sama ada dengan normal atau charge attack, teras atau ‘core’ milik musuh akan terdedah. Apabila perkara ini berlaku, musuh akan berada dalam keadaan ‘stun’ sementara di mana core ini boleh dirobek, untuk serta merta membunuh yokai tersebut sambil mendapatkan ether dan HP tambahan. Bagi saya, ini antara mekanik paling awal korang perlu mahir. Ia bukan sahaja dapat tamatkan pertarungan dengan lebih cepat, malah kita juga dapat bonus-bonus lain.

Dalam keadaan kecemasan, Ghostwire memberi kita pilihan untuk ‘melee attack’ dengan menekan butang R3. Pada permulaan game, ia tidaklah istimewa mana tetapi selepas meningkatkan keupayaannya, ia banyak bantu menyelamatkan saya dalam keadaan kecemasan. Kemudian dalam jalan cerita, Akito akan memperoleh beberapa alatan lain seperti busur dan azimat istimewa yang memberikan pendekatan ‘stealth’.
Agak sama seperti Assassin’s Creed Valhalla, saya tidak menganggap ‘stealth’ sebagai cara yang paling praktikal dalam game ini, jadi penggunaan busur dan anak panah kurang menarik dan hanya dipakai untuk misi tertentu sahaja.

Semua abiliti ini terkandung dalam Skill Tree yang dibahagikan kepada tiga bahagian utama; ‘Abilities’ (abiliti yang tidak berkait dengan elemen), ‘Ethereal Weaving’ (khusus kepada kuasa elemen) dan ‘Equipment’ (untuk menaik taraf busur, azimat, dan banyak lagi).
Walaupun saya kata lawan secara berdepan lebih seronok, itu hanya pendapat peribadi saya. Ghostwire: Tokyo memberikan kita pelbagai cara untuk menghadap musuh, jadi korang boleh pilih bagaimana untuk bertarung supaya lebih kena dengan playstyle sendiri.

Satu bahagian yang saya menghadapi masalah adalah semasa ‘aiming’. Bukan aiming semasa Ethereal Weaving tetapi semasa memakai busur dan anak panah. Kemain lagi payah di PS5, jadi saya fikir “Elok juga kalau mereka tambah fungsi Gyro atau seumpamanya”.
Pengalaman merayau di bandar Tokyo yang berhantu

Macam saya sebutkan tadi, seluruh populasi Tokyo lenyap selepas diselubungi kabus pelik. Kabus ini sebenarnya datang daripada gerbang Torii bersumpah, yang boleh ditemui di seluruh bandar. Sebagai hero, Akito mempunyai kuasa untuk menghapuskan sumpahan ini, lalu membuang kabus dan meluaskan kawasan bandar untuk memudahkan kita meneroka.
Tapi kemana perginya penduduk Tokyo? Kira-kira 200,000 orang telah diubah ke “roh” yang sedang hanyut di sekitar jalan, dalam bangunan, atau di atas bumbung. Dengan menggunakan pondok telefon khas yang dibuat oleh rakan KK, Akito boleh ‘menghantar’ roh-roh ini ke tempat yang selamat di luar kabus.

Mungkin ada yang fikir ini leceh tetapi menyerap roh bukanlah aktiviti yang sia-sia. Sebenarnya, menyerap roh adalah cara utama untuk menguatkan lagi Akito. Lebih banyak roh yang kita kumpulkan, lebih banyak EXP yang Akito akan terima, lantas membolehkan dia naik level dengan dengan lebih cepat, untuk unlock lebih banyak abiliti baru. Saya sarankan korang semua untuk menyelamatkan mana-mana roh, ini kunci utama kepada endgame nanti.

Selain daripada berjalan/berlari, kita juga boleh meneroka Tokyo di tempat yang tinggi menggunakan abiliti ‘gliding’ dan ‘Tengu Grapple’. Tempat yang tinggi bukan sahaja mengandungi banyak collectible, malah juga mengajar kita cara-cara untuk sampai ke tempat yang sebelum ini dianggap mustahil, dan mungkin menyimpan rahsia penting seperti gerbang Torii yang disumpah dan lain-lain.
Setiap side mission ada pengajaran sendiri

Kita dah borak pasal ‘main story’, sekarang kita sembang tentang side mission pula. Majoriti misi sampingan diilhamkan oleh cerita dongeng Jepun; contohnya, saya terpaksa membantu nenek tua mencari peneman yokai-nya, yang bernama Zashiki-warashi. Tidak semua yokai jahat dan banyak sebenarnya yang sudi membantu Akito menguatkan lagi kuasa ghaibnya.
Selain Zashiki tadi, yokai lain yang saya pernah temui termasuk Kappa, Ittan-momen, dan Rokurokubi. Sebenarnya ada banyak lagi tapi itu terpulang kepada korang untuk jumpa. Mencari Yokai ini pun hanyalah langkah pertama kerana setiap satu memerlukan kaedah yang berbeza dan unik untuk menangkap dan memanfaatkan kuasa mereka.

Kappa, sebagai contoh, suka makan timun, jadi bawalah beberapa buah timun untuk mengumpannya keluar. Ittan-momen pula boleh terbang; jadi untuk menangkapnya, kita perlu mengejar Yokai ini di udara sama ada dengan melakukan parkour, ‘gliding’ atau ‘Tengu Grapple’.
Asalnya, saya fikir misi sampingan Ghostwire terdiri daripada tugas-tugas generik yang bersifat repetitif, tetapi ternyata saya salah. Kebanyakan content sampingan Ghostwire sebenarnya mempunyai kisah original yang ditulis dengan baik dan banyak menyentuh tentang aspek-aspek kemanusiaan. Tidak semua melibat pertarungan, kerana yang lain memerlukan kita untuk menyelesaikan teka-teki platforming, manakala sesetengah memerlu kita mencari dan memulangkan objek kepada tuannya.
Lepak dengan Nekomata dan anjing comel

Tanpa kehadiran manusia, kedai serbaneka dan gerai di Tokyo kini dijaga oleh yokai kucing comel yang dipanggil Nekomata. Nekomata menjual pelbagai jenis barangan termasuk makanan, azimat, anak panah dan banyak lagi tetapi pastikan korang membawa Meika secukupnya (mata wang dalam permainan) untuk membeli.
Selain menjual barang, mereka juga boleh memberi macam-macam barangan eksklusif. Syaratnya adalah kita perlu mencari objek itu dan korang boleh mendapatkan gajet-gajet dan barang lain yang pasti berguna semasa melawan Yokai jahat.

Selain yokai comel ini, kita juga boleh berhenti berehat untuk membelai anjing dan kucing. Jika korang terjumpa atau membeli makanan anjing, jangan lupa untuk memberi mereka makan. Apabila perut kenyang, anjing ini akan bantu menggali Meika, menunjukkan koleksi barang-barang unik, dan macam-macam lagi sebagai tanda terima kasih.
Pengalaman bermain di PS5

Perkara pertama yang saya perhatikan ialah segala-galanya telah ‘di-render’ dengan sangat teliti, di mana grafiknya bertambah lagi realistik dengan teknologi ray-tracing milik PS5. Tokyo ialah bandar yang sibuk dengan lampu neon, papan iklan dan sebagainya, jadi untuk melihat reka bentuk bandar itu secara lagi mendalam hingga ke jalan lorong, lagi-lagi dalam perspektif first person, memang sangat cantik.
Itu untuk alam sekitar. Jika kita bercakap tentang model – kebanyakan aspek seperti pakaian dilakukan dengan baik tetapi bukanlah pada tahap yang saya rasa 100% sempurna. Model pun kadangkala nampak agak hambar tetapi bahagian animasinya bagus.

Paling penting sekali ialah aksi, yang terasa lebih ‘immersive’ di DualSense, dengan melaksanakan ciri ‘built-in audio’ dalam controller untuk membawa suara dari game terus kepada pemain. Supaya korang semua faham, KK kadang-kadang akan bagi arahan atau beritahu apa yang perlu dilakukan, jadi selain daripada TV atau monitor, suaranya boleh didengari melalui DualSense. Ini memberikan perasaan seolah-olah “Ada hantu ke dalam controller saya?”.
Ciri adaptive trigger dan haptic feedback dalam DualSense juga mensimulasikan pergerakan dan abiliti Akito. Tanpa perlu melihat, saya boleh membezakan antara menggunakan elemen angin, air, dan api. Sama ada dengan melepaskan roket api yang sedang mengecas atau melancarkan serangan angin berdas-das, semuanya mempunyai ‘feeling’ sendiri.

Perkara ini juga diaplikasikan kepada Core Grab. Apabila menarik teras daripada musuh pada jarak dekat, butang DualSense akan mensimulasikan ‘tubuh’ musuh ketika dia cuba sedaya upaya untuk melarikan diri daripada cengkaman Akito. Apabila abiliti itu bertambah kuat, perkara sama juga berlaku kepada adaptive trigger dalam DualSense, di mana kita dapat merasakan sensasi menjadi pemburu hantu yang lebih kuat. Bagi saya, bahagian in memang seronok dan merupakan antara game PS5 dengan pelaksanaan DualSense paling bagus.
Pendapat

Sejujurnya, saya sangat-sangat suka Ghostwire: Tokyo. Tahun ini kita banyak merasa dunia open world yang bersikap lebih tradisional dan luas seperti Horizon Forbidden West, tetapi Ghostwire mengubah konsep ini ke dunia yang lebih sempit tetapi masih terasa luas.
Walaupun tidak memanfaatkan unsur seram, keunikan di sebalik setiap yokai dan alam sekitar menunjukkan bagaimana kombinasi aksi dan latar belakang Jepun masih berpengaruh dalam industri. Saya mengaku bahawa banyak game sudah mencuba formula ini seperti Sekiro, Toukiden dan sebagainya tetapi Ghostwire: Tokyo berjaya menghasilkan identiti sendiri.

Aspek lain yang saya boleh puji ialah misi sampingan yang menyeronokkan, unsur ‘traversal’ yang lancar dan berbaloi kerana penuh dengan barang penting untuk kutip sehingga saya jarang menggunakan ‘fast travel’, dan sistem pertempuran intuitif dan gempak secara visual. Bersama-sama dengan teknologi PS5 seperti maklum balas haptik dan 3D audio, saya sendiri rasa seperti diri seolah-olah dalam game tersebut.
Walaupun banyak puji, saya tidak kata yang game ini sempurna 100%. Masih ada beberapa bahagian yang kurang bagus, saya tidak bohong. Antaranya, model watak kadangkala nampak buruk, gameplay pun akan jadi buggy di bahagian tertentu, dan sistem aiming semasa memakai busur sangat susah untuk kawal dan rasa tidak selesa untuk dipakai sedangkan ia salah satu objek penting dalam game.
Secara keseluruhan, Ghostwire masih menyeronokkan dan saya sarankan korang semua untuk cuba kalau ada peluang. Maka, tamatlah review saya untuk Ghostwire: Tokyo yang tersedia di PS5 dan PC pada 25 Mac (22 Mac untuk mereka yang pre-order).

@gamersantaimy
The Review
Ghostwire: Tokyo
PROS
- Pertempuran rasa intuitif dan seronok dari segi gameplay dan visual
- Dunia open world yang lain daripada lain
- Mempunyai antara pelaksanaan PS5 paling bagus setakat ini
CONS
- Sistem aiming busur sangat tidak selesa
- Model watak tidak memberangsangkan
Discussion about this post