Kalau anda ada dalam mana-mana platform komuniti anime, mesti ada satu topik yang mesti akan dibincangkan. Ianya topik berkenaan waifu ataupun “best girl”. Bahasa mudahnya watak perempuan terbaik dalam siri anime yang ditonton. Elok daripada berbincang boleh tercetusnya perang besar dalam komuniti anime, lebih-lebih lagi dalam mempertahankan waifu masing-masing. Perkara ini juga kita sering lihat dalam siri anime harem. Selagi tidak habis siri itu, memang akan tidak habislah perang waifu tersebut. Jom kita lihat beberapa perang waifu hebat yang berlaku dalam komuniti anime!
Chitoge vs Onodera (Nisekoi)

Nisekoi merupakan siri shonen yang diterbitkan pada tahun 2011 dan berakhir pada 2016. Ia juga telah mendapat adaptasi anime pada tahun 2014. Penonton akan diperkenalkan dengan Raku Ichijo, protagonis utama yang mencari pemilik kunci kepada loketnya. Dia sebenarnya mempunyai perasaan terhadap kawannya, Onodera. Pelbagai benda yang terjadi, Raku terpaksa pula bersama dengan Chitoge untuk menjaga ketenteraman antara kumpulan keluarga mereka.
Bayangkan, betapa hebatnya perang dia sampai semua ternanti-nantikan spoiler untuk bab baru. Belum masuk lagi dengan komen-komen toksik dalam forum. Memang seram.
Emilia vs Rem (Re:Zero)

Re: Zero merupakan siri novel ringan yang diterbitkan pada 2014 dan masih lagi diteruskan. Anda akan mengikuti kisah Subaru yang telah dihantar ke dunia lain semasa dia keluar daripada kedai serbaneka. Semasa di dunia baru itu, Subaru telah dibantu oleh Satella, seorang ahli sihir yang sedang mencari insignia-nya. Lalu dia pun membantu Satella mencarinya dan tahu-tahu dia diserang oleh pembunuh upahan. Lebih mengejutkan lagi, dia telah dihidupkan semula di tempat yang sama.
Selepas itu, penonton melihat Subaru berjumpa orang baru di dunia tersebut antaranya Emilia dan Rem. Sehingga sekarang perang antara dua watak ini berlaku. Nampaknya terpaksalah kita tunggu pengakhiran novel ini nanti.
Kuroneko vs Kirino (Oreimo)

Sebuah lagi siri novel ringan popular yang diterbitkan pada tahun 2008. Kita diperkenalkan dengan Kousaka Kyousuke yang tidak mempunyai hubungan yang baik dengan adik perempuannya, Kirino. Sehinggalah satu kejadian di mana dia terjumpa game yang dimainkan oleh Kirino. Sepanjang siri ini, peminat akan ditemukan pula dengan Kuroneko, yang mengenakan cosplay gothic lolita.
Perang antara dua watak ini juga boleh tahan sehingga penamatnya membuatkan ramai yang kecewa. Siapa sangka penulisnya berikan adegan perkahwinan antara Kyousuke dan Kirino. Meletup habis peminatnya.
Zero Two vs Ichigo (Darling in The FranXX)

Siri popular ini telah menambat hati ramai penonton anime pada tahun 2018. Kisah ini membawa kita ke sebuah dunia di mana manusia hampir pupus dan dunia yang dipenuhi dengan robot raksasa, Klaxosaur. Kanak-kanak yang selamat kini membawa FranXX, robot yang boleh mengalahkan Klaxosaur. Protagonis kita, Hiro telah berjumpa dengan perempuan misteri dengan dua tanduk yang akhirnya memperkenalkan dirinya sebagai Zero Two. Sesuatu telah berlaku dan kini Hiro memandu FranXX bersama Zero Two, yang juga dikenali sebagai Partner Killer.
Kita ada seorang lagi watak bernama Ichigo yang mempunyai perasaan terhadap Hiro. Rata-rata peminat tahu bahawa dia tidak ada harapan melawan Zero Two. Tetapi benda boleh buat gaduh, buat apa kita bincang betul tidak? Apapun ia masih lagi satu perbincangan yang menarik dalam komuniti anime pada waktu itu.
Sakura vs Hinata (Naruto)

Siapa sahaja yang tidak mengenali siri Naruto. Kalau dahulu sebut sahaja nama Sakura dan Hinata, mesti ada sahaja benda yang digaduhkan oleh peminat. Salah satunya, sudah tentu siapa yang lebih layak bersama Naruto. Kita juga tahu bahawa Hinata sudah lama suka pada Naruto. Protagonis kita ini pula mempunyai perasaan terhadap Sakura tetapi dia pula menyukai Sasuke. Selepas Masashi Kishimoto (mangaka Naruto) memberikan petunjuk mengenai pasangan Naruto, ramai yang menarik nafas lega, tetapi ada juga yang masih mempertahankan waifu masing-masing. Sabar sahajalah.
Itu sahaja yang kami boleh kongsikan untuk anda hari ini. Perang waifu mana yang anda pernah lalui sebelum ini? Boleh kongsikan kepda kami di ruang komen! Untuk mendapatkan liputan lain mengenai anime daripada kami, boleh klik pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post